Followers

Monday, July 23, 2012

Solat Tarawih




Oleh: Ustaz Shauqi

Bila datangnya bulan Ramadhan, umat Islam hendaklah menumpukan sepenuh perhatian untuk melaksanakan ibadah dan ketaatan dengan sebaik mungkin kepada Allah swt. Namun, apa yang menyedihkan ialah seringkali berlaku perbalahan dan pertelingkahan dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat dalam bulan Ramadhan terutamanya mengenai bilangan rakaat solat sunat Tarawih. Di samping itu, terdapat pula masyarakat Islam yang begitu beria-ia dan berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk mengerjakan solat sunat Tarawih, pada masa yang sama mereka meninggalkan solat fardhu seperti Maghrib dan Subuh. Mengapa perkara begini boleh berlaku, adakah masyarakat kita masih tidak boleh membezakan mana yang lebih utama antara sunat dan fardhu?

            Perbalahan dalam perkara-perkara khilaf seperti bilangan rakaat solat tarawih   ini telah menyebabkan ada yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Tidakkah mereka terfikir bahawa bermasam muka dan tidak bertegur sapa itu adalah haram, sedangkan puncanya datang daripada persoalan sunat yang menjadi khilaf di antara ulama?. Syeikh Dr. Fadl Hassan 'Abbas telah menyatakan bahawa lebih elok ditutup pintu masjid agar tidak ditunaikan solat sunat tarawih sekiranya perbalahan tentangnya menyebabkan perpecahan berlaku di antara umat Islam! Manakah yang lebih penting, solat sunat atau persaudaraan Islam?

           Ada pula masyarakat Islam yang memang seronok melihat perbalahan dan pergeseran berlaku di kalangan jemaah di masjid dan di surau. Lalu mereka sentiasa membawa serta membesar-besarkan isu ini dan mengapi-apikannya. Sedangkan mereka sendiri hanya menunaikan dua rakaat solat tarawih sahaja, lantas terus ke kedai kopi untuk berbual dan membuang masa. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menghindarkan diri daripada perbalahan yang tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah kita menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah yang patut dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Solat Tarawih ialah solat sunat muakkad. Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat Tarawih, dia tidak berdosa, akan tetapi seseorang itu akan mendapat dosa sekiranya mewujudkan perbalahan tentang bilangan rakaatnya sehingga menimbulkan pergeseran di antara umat Islam di masjid. Solat Tarawih bermula sebaik sahaja seorang itu selesai daripada mengerjakan solat fardhu ‘Isya (seeloknya selepas mengerjakan solat sunat Ba‘diyah ‘Isya’ kerana solat tersebut juga adalah sunat muakkad). Waktu untuk menunaikan solat Tarawih berkekalan sehingga terbit fajar. Ia dikerjakan dengan dua-dua rakaat. Jika dikerjakan solat Tarawih itu empat rakaat dengan satu salam, maka tidak sah solatnya, kerana menyalahi yang disyariatkan. (lihat kitab Al-Majmuk: 4/38) .

Para fuqaha' dan ahli hadis bersependapat bahawa nabi saw telah mengerjakan solat tarawih secara berjamaah dengan para Sahabat tiga atau empat hari, kemudian nabi tidak keluar untuk menunaikannya di masjid kerana dibimbangi ia akan dianggap fardhu oleh umat Islam. Saidatina Aisyah meriwayatkan yang maksudnya:




"Bahawa Rasulullah s.a.w. - pada suatu malam (dalam bulan Ramadhan) ketika jauh malam telah keluar lalu solat di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum.  Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersolatlah bersama-sama Baginda. Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai  orang hadir di masjid pada malam yang ketiga. Rasulullah s.a.w. pun keluar ke masjid lalu menunaikan solat dengan diikuti oleh sidang jamaah. Setelah sampai malam yang keempat, penuh sesaklah masjid dengan sidang jamaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan solat  subuh.  Setelah selesai solat, Baginda mengadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah Taala dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebabnya Baginda tidak datang ke masjid untuk mengerjakan sembahyang tarawih bersama), sabdanya: "Amma Ba'du, sebenarnya tidak terlindung kepada Aku tentang kedudukan kamu (sebagai orang-orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi Aku bimbang bahawa (sembahyang tarawih) itu akan difardhukan atas kamu, maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya."

(Imam al-Zuhri, salah seorang perawi hadith ini berkata): "Maka wafatlah Rasulullah s.a.w sedang perkara (sembahyang tarawih) itu berkeadaan demikian" (tidak dikerjakan dengan berjamaah). (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari).

Pada zaman Sayyidina Umar r.a, solat Tarawih juga dilakukan sebagaimana sebelumnya. Sehinggalah pada suatu malam beliau telah keluar dari rumahnya di bulan Ramadhan untuk pergi ke masjid. Beliau mendapati orang ramai bersolat Tarawih berkelompok-kelompok, ada yang bersolat secara bersendirian dan ada pula melakukannya secara berjemaah. Lalu beliau menghimpunkan orang ramai dan bersolat dengan berimam kepada sahabat Ubay bin Ka‘ab. Peristiwa ini diceritakan oleh Abdul Rahman bin Abdul Qari’, beliau berkata yang maksudnya: 

Daripada Abdul Rahman bin Abdul Qari’e, beliau berkata: Saya keluar bersama-sama Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab pada satu malam bulan Ramadhan pergi ke masjid Madinah.  Didapati dalam masjid orang solat Tarawih berkelompok-kelompok. Ada orang solat sendirian, ada yang solat dan ada beberapa orang dibelakangnya. Maka Sayyidina ‘Umar berkata: Saya berpendapat jikalau orang ini dihimpunkan dengan seorang imam sesungguhnya lebih baik, kemudian Sayyidina ‘Umar berazam, lalu mengumpulkan mereka bersolat dibelakang seorang imam namanya Ubay bin Ka’ab. Kemudian pada satu malam saya bersamanya (Sayyidina ‘Umar) datang lagi ke masjid, lantas kami melihat orang bersolat dengan seorang imam. Sayyidina ‘Umar berkata: Ini adalah bid’ah yang baik.” (Hadis riwayat al-Bukhari) .

Justeru, Para fuqaha bersepakat bahawa solat Tarawih dilakukan secara berjemaah. Jumhur fuqaha juga berpendapat hukum berjemaah solat Tarawih adalah sunnah sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah saw, para sahabat, dan para pengikut mereka sejak zaman Sayyiduna Umar bin al-Khattab r.a dan berterusan diamalkan secara berjemaah hingga sekarang. 

Persoalan mengenai jumlah raka’at solat Tarawih pula, sebenarnya ia merupakan perkara lama yang telah pun dibincangkan  oleh ulama-ulama mu’tabar, tetapi malangnya ia sentiasa diungkit-ungkit dan ditimbulkan kekecohan oleh pihak-pihak yang masih tidak berpuas hati. Bilangan rakaat solat Tarawih adalah perkara yang termasuk di dalam perbezaan pendapat Ulama. Seseorang Muslim tidak boleh bersikap bersikap keras dalam perkara yang ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Mengikut Syeikh Dr. Abdul Malik al-Sa'di, tidak terdapat dalil yang benar-benar pasti tentang bilangan rakaat solat tarawih yang dilakukan oleh Rasulullah saw kerana terdapat pelbagai riwayat tentang bilangan rakaatnya. (Lihat buku al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 119). Oleh itu, semakin banyak Ibadah yang dilakukan pada malam-malam Ramadhan, maka semakin banyaklah pahala yang akan diperolehi.

Terdapat segelintir umat Islam bersikap keras dengan menyatakan bahawa solat Tarawih hanya 8 rakaat, dan sesiapa yang melakukan lebih daripada 8 rakaat merupakan suatu perkara bid'ah. Hujahnya ialah hadis daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman yang bertanyakan Sayyidatuna Aisyah r.a : "Bagaimanakah solat Nabi s.a.w. di dalam bulan ramadhan?" Maka jawab Sayyidatuna Aisyah: "Nabi tidak melebihkannya di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan melebihi 11 rakaat ...(11 rakaat ialah setelah dicampur 3 rakaat Witir)" (Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Kalau diteliti hadis ini, ia hanya menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w. menunaikan solat malam di dalam bulan Ramadhan dan selainnya dengan 11 rakaat. Namun begitu, dalil-dalil yang jelas menunjukkan bahawasanya solat malam ini termasuklah solat tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu, sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu 'Umar, seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang solat malam, Maka jawab baginda : "Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, jika seseorang kamu bimbangkan masuknya waktu subuh maka dia solatlah satu rakaat sebagai solat witir." (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru apabila dilihat pendapat para ulama yang mu'tabar,  akan didapati bahawa      bilangan rakaat solat Tarawih  tidak terikat dengan bilangan tertentu. Menurut Jumhur ulama' pula iaitu yang terdiri daripada ulama' aliran mazhab Syafie, Hanafi, yang rajih di sisi Imam Ahmad, al-Thauri, Daud dan sebagainya, mereka menyatakan bahawa bilangan solat Tarawih ialah 20 rakaat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya yang bermaksud:   Bahawasanya mereka (sahabat-sahabat) nabi, mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan Ramadhan pada zaman Umar bin al-Khattab dengan 20 rakaat.”  (Telah mensahihkannya al-Hafiz al-'Iraqi dan al-Subki).

Di samping itu, terdapat riwayat daripada para ulama' salaf yang menunaikan solat sunat Tarawih lebih daripada 20 rakaat. Terdapat di kalangan mereka yang menunaikan sebanyak 46 rakaat, 41 rakaat, 39 rakaat, 36 rakaat, 34 rakaat dan 24 rakaat. Ada pula yang menunaikan 16 rakaat dan 13 rakaat. (Rujuk buku al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 120).

Menurut Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin dalam kitabnya (Fatawa  Syeikh Ibn 'Uthaimin - 1/407), beliau berkata: "Dan perkara ini (bilangan rakaat Tarawih) adalah luas. Maka tidak diingkari ke atas siapa yang solat dengan 11 rakaat atau 23 rakaat….", Katanya lagi: "Tidak sewajarnya bagi kita untuk berlebih-lebihan dan melampau-lampau. Sebahagian manusia ada yang melampau-lampau dalam bentuk (kononnya) beriltizam dengan Sunnah (Nabi) dalam bab bilangan (solat Tarawih), mereka mengatakan : "Tidak boleh ada tambahan atas bilangan (solat tarawih) yang datang dari sunnah. Mereka juga mengingkari dengan keengkaran yang keras terhadap sesiapa yang melakukan penambahan dalam perkara ini, mereka mengatakan perkara tersebut adalah dosa dan derhaka. Perbuatan ini tidak syak lagi kesalahannya. Bagaimana boleh jadi dosa dan derhaka, (kerana) telah ditanya kepada Nabi s.a.w. tentang solat malam, kemudian Nabi mengatakan : "Dua rakaat, dua rakaat", dan baginda tidak menghadkan bilangan rakaatnya.... Maka apabila Nabi s.a.w. menerangkan kaifiat (cara solat) tanpa menghadkan bilangan (rakaat), telah diketahui bahawasanya dalam perkara ini adanya keluasan...."

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula berkata :  "Dan solat tarawih itu bahawasanya solatnya sepertimana mazhab Abu Hanifah, al-Syafi'e, dan Ahmad dengan 20 rakaat, ataupun sepertimana mazhab Malik dengan 37 rakaat, atau 13 rakaat, atau dengan 11 rakaat, sesungguhnya (semua ini) baik, sepertimana yang telah dinaskan oleh Imam Ahmad dengan ketiadaan at-Tauqif. Maka boleh dilakukan dengan banyak rakaat dan sedikit berdasarkan panjang atau pendeknya qiam."

Ibn Qudamah pula menyatakan : "Dan yang terpilih di sisi Abu Abdillah (iaitu Imam Ahmad) r.a. (solat malam) 20 rakaat, dan inilah pendapat at-Thauri, Abu Hanifah, as-Syafi'e, dan berkata pula Malik : "36 rakaat." (Lihat kitab al-Mughni - 1/457).

Imam al-Nawawi pula menyatakan: "Solat tarawih itu merupakan sunnah dengan ijmak para ulama. Mazhab kami (berpendapat) bahawasanya (bilangannya) 20 rakaat dengan 10 kali salam, boleh dilakukan sendirian dan berjemaah." (Lihat kitab al-Majmu' - 4/31).

al-Suyuti pula berkata : " Hadith-hadith yang sahih dan hasan dalam perkara qiyam Ramadhan dan galakan melakukannya tidak mengkhususkan bilangan (rakaat). Ia juga tidak juga thabit bahawasanya Nabi s.a.w. solat tarawih dengan 20 rakaat. Adapun solat malam ini, solat yang tidak disebutkan bilangannya. Baginda menghentikan (solat berjemaah) pada malam yang keempat kerana bimbang difardhukan ke atas umat, maka perkara ini akan menyusahkan mereka....." (Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah - 27/142-145) .

Jelasnya, bilangan rakaat solat Sunat Tarawih termasuk dalam perkara khilafiah yang tidak sepatutnya diperbalahkan. Sebaliknya setiap umat Islam hendaklah menumpukan perhatian untuk mewujudkan kualiti dalam  Ibadah yang dilakukan serta mengikhlaskan diri kepada Allah swt. Rebutlah peluang, bonus dan ganjaran besar yang disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini. Jauhilah pertelingkahan dan pergaduhan dalam perkara-perkara furu' kerana ia hanya akan merugikan umat Islam

No comments:

Post a Comment

Post a Comment