Followers

Monday, April 21, 2008

Sheikh al-Marbawi – Tokoh Persuratan Arab Melayu

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim edisi Mac 2007)

Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi adalah seorang ulamak besar yang tidak asing lagi bukan saja di Nusantara malahan di Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Ilmu Hadis, Tafsir dan Fiqah.

Beliau telah dilahirkan pada tahun 1893 dan secara tepatnya pada tahun 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah. Setelah lama berada di Makkah, keluarganya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia iaitu pada tahun 1913 bersamaan tahun 1333 Hijrah. Sekembalinya ke Tanah Melayu, Allahyarham Syeikh Mohd Idris al-Marbawi mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok di Kuala Kangsar, Kedah, Bukit Mertajam dan Kelantan.

Sejak dari kecil lagi, al-Marbawi telah menunjukkan kemampuan akademiknya yang memberangsangkan. Ketika berusia sepuluh tahun, beliau telah menamatkan pengajian hafalan al-Quran. Ketika berusia 10 tahun juga, beliau telah mampu menghafaz sebanyak 10 juzuk Al Quran di samping beberapa buah kitab lain.

Kecenderungan ilmiah yang tertambat kukuh dalam jiwanya telah mendorong beliau menuntut ilmu di pondok-pondok yang merupakan institusi pendidikan Islam yang terpenting di alam Melayu pada ketika itu. Antaranya Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi, di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Melihat kepada kemampuan akademik dan minatnya kepada ilmu Islam, ayahanda beliau mengesyorkannya agar menyambung pengajian ke timur tengah sama ada ke Mesir ataupun kembali semula ke Mekah. Lalu, pada tahun 1924, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau sempat bertugas sebagai guru agama di Perak sebelum menyambung pengajiannya ke Universiti al-Azhar.

Al-Marbawi di Mesir


Di Mesir, beliau menggondol kejayaan yang membanggakan dengan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti al-Azhar. Sebenarnya al-Marbawi merupakan anak kelahiran Perak yang pertama meneroka pengajian Islam di Mesir.

Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya.
Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.

Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai 'Kamus al-Marbawi' itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.

Sumbangan Karya al-Marbawi

Karya-karya al-Marbawi yang dihasilkan adalah melebihi 20 buah buah dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Ini sekaligus membuktikan al-Marbawi dalam pengajian ilmu-ilmu Islam.Walau bagaimanapun, kemasyhurannya lebih ditonjolkan dalam dunia persuratan Arab-Melayu berbanding disiplin ilmu yang lain. Apatah lagi, beliau pernah dianugerah Ijazah Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Anugerah yang diterima ini sebagai mengenang jasa yang diberikan oleh beliau dalam bidang persuratan Arab-Melayu.

Selain kamus Arab-Melayu, al-Marbawi juga
telah menghasilkan karya yang penting dalam bidang hadith. Antara tulisan beliau dalam bidang ini ialah Bahr al-Madhi yang merupakan ringkasan dan ulasan kepada sunan al-Tirmidhi. al-Marbawi juga turut menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kitab Bulugh al-Maram iaitu sebuah karya hadith yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh Hadith tersohor iaitu Ibn Hajar al-Asqalany. Dua karya dalam bidang hadith berbahasa Melayu ini ialah antara karya yang penting, sulung, dan terbesar pernah dihasilkan oleh seorang ulama’ Nusantara.

Dalam bidang Tafsir al-Quran pula, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna.


Selain bidang tersebut, al-Marbawi juga telah menghasilkan tulisannya dalam bidang Fiqh, Aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah kitab Asas Islam, Kitab Nizam al-Hayah, Kitab Pati Hukum-hukum Ibadah, Kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu, karya berjudul Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu, dan banyak lagi.

Kamus al-Marbawi dan Bahrul Madhi

Kitab yang paling tersohor yang telah dihasilkan oleh al-Marbawi ialah Kamus Arab-Melayu dan kitab Bahrul Madhi. Kedua-dua kitab ini digunakan sehingga ke hari ini. Antara keistimewaan kedua-dua hasil karya beliau ini adalah seperti berikut:-

Kamus al-Marbawi

Kamus ini merupakan kamus dwibahasa Bahasa Arab –Bahasa Melayu. Ia disusun dalam 2 jilid, iaitu jilid yang pertama bermula daripada huruf alif sehingga za'. Manakala jilid yang kedua bermula daripada huruf `ain sehingga ya'. Kamus ini mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak oleh Matba`ah Mustafa al-Babiy al-Halbi Wa Awladihi di Mesir. Kamus ini menjadi rujukan pelajar di Malaysia bagi setiap peringkat sama ada peringkat rendah, menengah mahu pun universiti.


2. Kitab Bahrul Mazi

Kitab Bahr al-Madhi merupakan salah satu sumbangan terpenting beliau dalam pengajian Hadith di Malaysia. Bahr al-Madhi ialah kitab hadith bertulisan jawi terbesar dan antara yang terawal pernah wujud di alam Melayu. Karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fikah, aqidah, tasawuf, dan muamalat.

Kelainan dan keistimewaan kitab ini amat jelas, apatah lagi ulasan al-Marbawi mengikut acuan dan suasana masyarakat Malaysia. Karya ini memberikan nafas baru kepada pemahaman hadith-fiqh secara mendalam di samping mendidik masyarakat Malaysia tentang hubungan yang earat antara kedua-duanya.

Anugerah Yang Diterima Oleh al-Marbawi

Atas sumbangan dan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan, maka pada tanggal 5 Julai 1980, Allahyarham dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada enam tahun berikutnya iaitu pada pada 1 Muharram 1408H beliau dinobatkan pula sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1408 Hijrah.

Tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah telah meninggalkan kesedihan kepada rakyat Malaysia yang dahagakan ilmu dan sumbangan al-Marbawi apabila beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, Perak.

Doa Ketika Berada Dalam Kesusahan

Thursday, April 17, 2008

Al-Khansa' Binti 'Amru

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Nama sebenar beliau ialah Tumadhir Binti 'Amru Bin al-Harith Bin al-Syarid. Beliau digelar dengan Khansa'. Beliau hidup dalam dua zaman iaitu pada zaman Jahiliyyah dan pada zaman Islam. Namun, usianya lebih lama pada zaman Jahiliyyah sebelum beliau memeluk Islam bersama kaum kerabatnya daripada Bani Sulaim. Kita akan cuba meneliti kehidupan Khansa' dalam kedua-dua zaman iaitu pada zaman Jahiliyyah dan pada zaman Islam.

Khansa’ merupakan seorang wanita yang berubah dengan begitu ketara setelah memeluk Islam. Semasa Jahiliah, beliau merupakan seorang yang amat kuat menangis sehingga boleh dikatakan bahawa beliau ‘ketua bagi orang menangis’ di sepanjang sejarah. Namun, apabila menerima cahaya Islam, beliau telah berubah secara drastik, sehingga boleh dikatakan pula bahawa beliau seorang ‘ketua bagi orang yang sabar’. Beliau menjadi seorang wanita yang mempunyai sifat redha, cekal, sabar dan sentiasa memuji Allah pada setiap waktu dan ketika.

Beliau digelar dengan nama ‘al-Khansa’ kerana memiliki hidung yang cantik. Khansa’ berkahwin dengan sepupunya yang bernama Rawahah Bin Abdul Aziz al-Sulamiy. Bersama Rawahah, Khansa’ dikurniakan anak yang diberi nama Abdullah. Kemudian, beliau juga pernah berkahwin dengan Mirdas Bin Abi ‘Amir al-Sulamiy, dan memperoleh empat orang anak iaitu Yazid, Muawiyah, ‘Amru dan ‘Umrah.

Khansa’ mempunyai dua orang saudara lelaki yang amat dikasihi olehnya iaitu yang bernama Muawiyah dan Sakhr. Muawiyah mati dibunuh pada tahun 612 Masihi, manakala Sakhr pula meninggal dunia pada tahun 615 Masihi. Khansa’ sangat menyayangi Sakhr. Justeru, apabila Sakhr meninggal dunia, Khansa’ tidak henti-henti menangis sehingga matanya menjadi buta. Khansa’ menangis dan melahirkan kesedihan melalui puisi-puisi yang diucapkan olehnya. Antara puisi yang diucapkan olehnya ialah:

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, si malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."

Puisi-puisi yang dihasilkan oleh Khansa’ dalam meratapi kematian Muawiyah dan Sakhr mpunyai nilai estetika yang tinggi. Al-Nabighah al-Zibyani ketika mendengar puisi yang diucapkan oleh Khansa’ telah berkata: ‘aku tidak pernah berjumpa dengan seorang yang mempunyai kehebatan dalam puisi seperti Khansa’. Jarir seorang penyair pula menyatakan: ‘aku adalah seorang yang paling hebat dalam puisi sekiranya dengan ketiadaan Khansa’.

Pada zaman Jahiliah, Khansa’ banyak menangis. Apabila beliau berada dalam majlis keramaian pun beliau akan tetap menangis. Tangisan beliau itu menyebabkan para hadirin dalam majlis tersebut turut menangis bersamanya kerana kesedihan.

Khansa’ tinggal bersama Bani Sulaim yang mendiami di satu penempatan yang tidak jauh dari Madinah al-Munawwarah, iaitu lebih kurang 200 km ke timur Madinah. Apabila Islam tersebar, Khansa’ merupakan salah seorang yang begitu mudah menerima agama Islam kerana berpuas hati, faham dan yakin dengan kebenaran Islam. Oleh itu, apabila rombongan daripada kaumnya pergi menemui Rasulullah, beliau turut serta untuk berbai’ah dengan Rasulullah untuk memeluk Islam. Rasulullah saw sendiri kagum dengan kelebihan yang dimiliki oleh Khansa’ dalam bidang syair dan puisi.

Semasa peperangan al-Qadisiah, Khansa’ berdiri teguh di belakang empat orang anaknya iaitu Yazid, Muawiyah, ‘Amru dan ‘Umrah dengan memberikan semangat dan kata-kata perangsang kepada mereka untuk menuju ke medan perang berjihad di jalan Allah dan menegakkan agama Allah. Keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakannya untuk menyemarakkan semangat juang anak-anaknya. Sebelum anak-anaknya itu keluar ke medan peperangan al-Qadisiah, Khansa’ telah memberikan kata-kata perangsang kepada mereka dengan katanya:

“Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan suka rela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu tentang pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya tempat yang kekal itu (Akhirat) lebih baik daripada tempat yang binasa (dunia) .”

Lalu, Khansa’ membacakan firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 200 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung’.

Seterusnya Khansa berkata: “Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah, dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh-musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan daripada Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Semoga kamu akan berjaya mendapatkan balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal.”

Begitulah hebatnya Khansa’ dalam memberikan perangsang kepada anak-anaknya untuk turun ke medan jihad. Sehubungan dengan itu, anak-anaknya pergi berjihad dalam keadaan penuh semangat dan memikul amanat serta nasihat ibu mereka , dan tidak sekali-kali berasa gentar dengan musuh apatah lagi untuk lari meninggalkan medan peperangan. Keempat-empat anak lelaki Khansa’ ini, akhirnya gugur syahid dalam peperangan tersebut.

Ramai yang teragak-agak untuk menyampaikan berita kepada Khansa’ tentang kematian anak-anaknya, kerana bimbang beliau akan menangis lagi. Sebagaimana yang diketahui, sepanjang hidupnya semasa zaman Jahiliah digunakan untuk menangis meratapi kematian saudaranya Muawiyah dan Sakhr. Apatah lagi pada kali ini, empat orang anaknya sekaligus gugur syahid dalam medan peperangan.

Namun demikian, ada seorang pejuang yang turut serta dalam peperangan tersebut, pergi menemui Khansa’ dan meyampaikan berita tentang kematian anak-anaknya itu. Apabila mendengar sahaja berita itu, Khansa’ tidak menangis, sebaliknya menunjukkan kesabaran yang tinggi apabila beliau berkata: ‘segala puji bagi Allah yang memuliakan daku dengan kesyahidan anak-anakku, dan aku mengharapkan agar Allah mempertemukan kami di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!’. Inilah kata-kata yang diucapkan oleh seorang ibu yang cukup kental dan sabar. Ini kerana ajaran Islam telah menyedarkan beliau tentang kelebihan syahid melalui firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 169 yang bermaksud: ‘Janganlah kamu menyangka bahawa orang yang gugur (syahid) di jalan Allah itu mati; bahkan mereka hidup di sisi tuhannya dengan mendapat rezeki’.

Sesungguhnya ajaran Islam telah mengubah sikap Khansa’ yang kuat menangis kepada seorang manusia yang memiliki kesabaran yang tinggi. Inilah keimanan yang jitu dan unggul yang ditonjolkan oleh seorang ibu yang bernama Khansa’.

Wednesday, April 16, 2008

Rasulullah Mengambil Berat Soal Kebersihan

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Dalam surah al-Anbiya’ ayat 107, Allah SWT berfirman yang bermaksud: ‘Tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kecuali sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam’. Rahmat yang dibawa oleh Rasulullah meliputi seluruh makhluk, dan sesiapa sahaja (termasuk orang bukan Islam) yang mengambil pengajaran dan contoh daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah daripada ajaran Islam yang suci murni itu, sudah tentu akan memperoleh rahmat dan kebaikan.

Salah satu ajaran dan contoh tauladan yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita semua ialah amalan menjaga serta memelihara kebersihan diri. Rasulullah amat mengambil berat tentang penampilan dan kebersihan diri. Rasulullah membasuh tangan sebelum dan selepas makan, serta menggunakan siwak (membersihkan mulut dan gigi) pada setiap keadaan dan masa. Begitu juga baginda memelihara kesihatan dan kebersihan diri dengan membuang segala kekotoran di badan dan sentiasa berusaha agar sentiasa kelihatan kemas dan bersih.

Justeru, baginda menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menegaskan bahawa terdapat lima perkara fitrah yang perlu dilakukan iaitu berkhatan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, memendekkan misai dan memanjangkan janggut.

Rasulullah SAW sentiasa mengajar umatnya agar sentiasa berada dalam keadaan bersih, dan melarang daripada kekotoran. Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya: Sesungguhnya Allah itu baik dan suka akan kebaikan, bersih dan suka akan kebersihan, mulia dan suka akan kemuliaan...’.

Sesuatu yang jelas yang menunjukkan kebersihan pada diri baginda ialah bau badan dan peluh baginda begitu wangi melebihi haruman amber dan kasturi. Haruman wangi dapat dihidu di sepanjang perjalanan yang telah dilalui oleh Rasulullah. Walaupun wangian peluh dan badan nabi merupakan perkara khusus yang dikurniakan Allah kepada nabi, namun ia juga secara langsung menunjukkan bahawa Rasulullah begitu mengambil berat dalam menjaga kebersihan dan menghindarkan diri dari segala kekotoran dan bauan yang tidak enak.

Rasulullah amat mengambil berat tentang kebersihan gigi dan bau mulut. Oleh itu, dalam pelbagai situasi, Rasulullah SAW menggunakan siwak bagi membersihkan gigi baginda, iaitu ketika hendak mengerjakan solat, ketika berwuduk, ketika hendak tidur dan ketika bangun daripada tidur. Bahkan Rasulullah SAW menggesa umatnya untuk bersiwak dengan sabda baginda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Nasaei yang bermaksud: ‘Amalan siwak dapat membersihkan mulut serta mendapat keredhaan Allah’.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ‘Sekiranya tidak memberati kepada umatku, nescaya aku akan menyuruh mereka untuk bersiwak setiap kali hendak menunaikan solat (Dalam riwayat Bazzar dan Tabrani : aku akan mewajibkan siwak kepada mereka ketika hendak menunaikan solat seperti diwajibkan wuduk kepada mereka).

Rasulullah merupakan penghulu segala nabi. Sehubungan dengan itu, baginda merupakan makhluk Allah yang paling bersih sama ada pada tubuh badan, pakaian, rumah dan sebagainya. Rasulullah juga memberikan perhatian terhadap sesuatu situasi dalam mengenakan pakaian. Contohnya, apabila menyambut mana-mana rombongan yang datang berjumpa nabi, baginda akan memakai pakaian yang cantik bersesuaian dengan majlis yang dihadiri. Begitu juga pakaian yang dipakai ketika keramaian seperti pada hari raya, dan pada hari jumaat (Sila rujuk buku Muhammad al-Insan al-Kamil oleh al-Sayyid Muhammad Bin al-Sayyid ‘Alawi al-Maliki). Tambahan daripada itu, Rasulullah juga melarang daripada melabuhkan pakaian sehingga meleret ke tanah kerana ia boleh menyebabkan kekotoran melekat pada pakaian tersebut.

Kebersihan Rumah dan Masjid

Rasulullah saw bukan sahaja memberikan perhatian kepada penampilan dan kebersihan diri, bahkan baginda amat mengambil berat terhadap kebersihan persekitaran terutamanya kebersihan rumah dan masjid. Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya untuk menjaga kebersihan di rumah kerana ia akan dapat memberikan keselesaan pada kehidupan, dan seterusnya dapat melaksanakan ibadah kepada Allah dengan selesa.

Sesuatu yang wajar diingatkan terutamanya kepada keluarga yang masih mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil berat soal kebersihan di dalam rumah agar solat yang ditunaikan diterima oleh Allah. Kadang-kala terdapat ibu bapa yang memandang ringan terhadap air kencing bayi yang terdapat di atas lantai dengan tidak membersihkannya mengikut hukum syarak iaitu dengan cara dan kaedah membersihkan najis mutawassitah. Natijahnya, apabila ibu atau bapa berwuduk dan melalui kawasan yang bernajis itu (dengan cara yang tidak disedari), lalu berdiri di atas sejadah untuk menunaikan solat, bukan sahaja sejadah itu bernajis, malahan solatnya itu pun tidak sah dan tidak diterima oleh Allah. Oleh yang demikian, setiap individu muslim tidak sewajarnya memandang ringan terhadap memelihara kebersihan di rumah sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Apatah lagi di masjid, Rasulullah SAW amat menitik beratkan kebersihan masjid dan Rasulullah amat gembira jika ada orang yang secara sukarela menjaga kebersihan masjid. Pada zaman nabi, terdapat seseorang yang ditugaskan untuk mewangikan masjid dengan wangi-wangian. Pahala yang amat besar akan diperoleh sekiranya seseorang itu prihatin untuk membersihkan masjid walau daripada kekotoran yang amat sedikit sekalipun.

Namun, sesuatu yang amat malang ialah apabila terdapat segelintir umat Islam yang sepatutnya mencontohi nabi dalam soal kebersihan ini, tidak memelihara kebersihan masjid dan kebersihan persekitaran dengan baik. Kadang-kala kedapatan negara-negara barat dan negara-negara bukan Islam ‘lebih mencontohi nabi’ dalam menjaga kebersihan. Orang barat tahu di mana bakul sampah untuk dibuang sampah, akan tetapi segelintir umat Islam yang mengaku sebagai umat nabi Muhammad masih tidak mengenali bakul dan tong sampah, lalu membuang sampah di merata-rata tempat. Bukan itu sahaja, terdapat pemandu dan penumpang kenderaan begitu bebas membuang sampah di atas jalan raya ketika kenderaan sedang bergerak. Golongan seumpama ini tidak wajar untuk mengaku diri sebagai umat nabi Muhammad!.

Jelasnya, Rasulullah SAW perlu dicontohi oleh setiap individu muslim dalam menjaga kebersihan. Pastikan tubuh badan, pakaian, tempat tinggal dan persekitaran bersih sebagaimana yang dilakukan dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Koleksi Lawak... baca masa tension

Haram menikahi gadis satu kampung


MUI jakarta mengeluarkan fatwa baru. Setelah diadakan muzakarah dan diskusi di antara para pemimpin MUI dan dewan pakarnya, fatwa pun diberikan pada tanggal 3 oktober tahun 2003:

"HARAM HUKUMNYA BAGI SEORANG MUSLIM LAKI-LAKI UNTUK MENIKAH DENGAN GADIS SEKAMPUNG"

Fatwa MUI ini telah menimbulkan perdebatan yang sangat sengit di antara yang pro dan kontra. Bahkan banyak pihak yang menyatakan bahwa MUI telah tersilap dalam mengambil keputusan tersebut. Untuk mengetahui alasan MUI mengeluarkan fatwa tersebut, maka wartawan republika mewawancara sekretari umum MUI Prof. Dr. Din syamsudin, Inilah isi wawancara tersebut:

Wartawan: Pak syamsudin, bagaimana MUI bisa mengeluarkan fatwa haram untuk menikahi gadis sekampung?

Prof. Dr. Din Syamsudin: Bagaimana enggak haram, menikahi empat orang gadis aja berat, apalagi satu kampung, kan itu banyak jumlahnya... ..

Lawak 2

Seorang peguam yang sangat berjaya memberhentikan Mercedes Benz terbarunya di depan pejabatnya.. ketika dia membuka pintu keretanya.. sebuah lori melintas terlalu dekat menyebabkan terlanggar dan menerbangkan pintu kereta itu sekaligus menghentam bahagian depan Mercedesnya dgn kuat..

Orang ramai segera datang berkerumun dan mereka melihat peguam itu menjerit-jerit dan menangis dengan histeria sambil menunjuk keretanya yang sudah kemek itu.

Beberapa minit setelah dia dapat menguasai emosinya, beberapa orang menggeleng-gelengkan kepala dan memandang hina kepada peguam itu. Seorang dari mereka berkata: "Saya tidak sangka yang sifat materialistik engkau sudah keterlaluan dan mata duitan. engkau hanya pentingkan harta dan tidak pentingkan benda lain.

"kenapa engkau berkata demikian?", tanya si peguam.
lelaki itu menjawab.. "Tidakkah engkau tahu yang lengan kiri engkau terputus diseret lori tadi?"..."Ya Tuhan!!", jerit si peguam tadi dengan kuat.. "Di mana jam tangan Rolex saya?!!"

Tuesday, April 15, 2008

Saturday, April 12, 2008

Teras kecam MCA yang mahu orang Islam boleh keluar Islam tanpa sekatan

KUALA LUMPUR, 12 April - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dalam satu kenyataannya semalam membantah keras kenyataan Presiden MCA, Dato' Seri Ong Ka Ting yang menyatakan kerajaan perlu membenarkan warga Islam keluar dari Islam tanpa apa-apa sekatan.

"MCA dan pihak-pihak yang ghairah mahu murtad dibenarkan dalam negara ini tidak boleh mengenepikan peruntukan undang-undang negeri yang tidak boleh membenarkan orang Islam dengan sewewenangnya murtad. Alasan bahawa orang Islam dibenarkan keluar Islam tanpa sekatan tidak boleh diguna kerana ugama Islam mempunyai perundangannya sendiri mengenai murtad”, katanya.

"Teras tidak dapat menerima secara simplistik dan mudah MCA dan pihak yang lain mahu saranan kerajaan itu dijadikan alasan untuk kesempatan mereka menghidupkan semula tuntutan untuk negara ini membolehkan sesiapa sahaja bebas murtad murtad”.

Teras mengingatkan semua pihak supaya jangan gopoh mencari kesempatan untuk menyentuh urusan agama Islam terutama soal murtad. "Mereka yang tidak memahami perundangan Islam dalam hal murtad tidak boleh dengan sesuka hati mengguna alasan logik hanya kerana mahu alasan yang sama diguna untuk orang bukan Islam dan orang Islam bertukar agama tanpa ikatan kepada undang-undang syariah," tegas Azmi.

Peraturan Mewajibkan Orang Memeluk Islam Membuat Perisytiharan?

KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) hari ini membantah langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka.

Naib Presidennya, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, Macma berpendapat langkah kerajaan itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya ia hanya akan membantutkan usaha dakwah untuk menarik minat lebih ramai orang bukan Islam menganut Islam.

Beliau berkata, banyak pihak tidak sedar bahawa bebanan serta tekanan menjadi saudara baru terutama di peringkat awal adalah amat hebat kerana kebanyakan keluarga tidak merestui mereka menganut Islam.

''Dugaan dan cabaran yang kami terima tidak sehebat mereka yang telah menganut Islam sejak dilahirkan. Macma sendiri pernah menerima aduan yang mana hidup saudara-saudara baru tertekan selepas memberitahu status keislaman mereka pada keluarga masing-masing.

''Ini merupakan satu keadaan yang amat malang dan yang lebih malang lagi ada antaranya keluar dari Islam dan menganut agama asal. Keluarga mereka sanggup buat apa sahaja asalkan anak mereka itu kembali murtad''. Beliau mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini, mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.Mohd. Ridhuan berkata, beliau sendiri terpaksa memberitahu keluarganya selepas setahun memeluk Islam.

Ujarnya, seperti yang dijangka kesemua ahli keluarganya termasuk ibu bapanya menentang keras tindakannya itu hingga beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran itu secara berseorangan. ''Alhamdulillah Allah telah memberi kekuatan kepada saya untuk menghadapi cabaran tersebut, cuma apa yang saya mahu timbulkan di sini ialah mengenai penentangan hebat daripada keluarga saya walaupun saya telah menganut Islam selama setahun.

''Persoalannya bagaimana pula dengan mereka yang memeluk Islam dalam tempoh sehari atau seminggu dan mereka terpaksa memberitahu keluarga dalam tempoh terdekat. 'Adakah dalam tempoh ini mereka mempunyai satu kekuatan yang mampu menahan tentangan daripada keluarga masing-masing? Saya tidak fikir mereka mampu menghadapinya,'' ujarnya.

Beliau berkata, hakikatnya, kebanyakan keluarga bukan Islam di negara ini tidak mahu anak-anak mereka memeluk agama suci itu. ''Kita perlu akui sifat prejudis yang tinggi pada keluarga bukan Islam terhadap anak-anak yang memeluk Islam di Malaysia. Kita tidak boleh menafikan fakta ini,'' katanya lagi.

Katanya, beliau bercakap berdasarkan pengalaman dan sehubungan itu Macma tidak mahu peraturan itu menyekat hasrat orang bukan Islam menganut Islam. ''Macma bimbang jika peraturan ini dikuatkuasakan ia akan lebih membebankan mereka dan akhirnya mereka kembali ke agama asal,'' tambahnya.

Ketika diberitahu tujuannya adalah untuk mengelakkan perkara berbangkit, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana saudara baru mempunyai dokumen-dokumen sebagai bukti keislamannya. ''Jika tidak ada dokumen mayat mereka akan diserahkan kepada keluarga asal untuk diuruskan seperti kes Nyonya Tahir. Janganlah disebabkan timbul satu dua kes, kerajaan terburu-buru memperkenalkan peraturan ini,'' tambahnya.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak merujuk dengan mana-nama persatuan seperti Macma sebelum memperkenalkan apa jua peraturan berkaitan saudara baru.

Doa Pohon Keampunan

Wednesday, April 9, 2008

Soal Jawab Agama

Sesiapa yang mempunyai sebarang kemusykilan agama, sila kemukakan soalan anda kepada saya di laman berikut:

http://arabic.goodforum.net/soal-jawab-agama-bersama-ust-shauqi-dan-lain-lain-f39/

Tuesday, April 8, 2008

Pokok Gharqad Yahudi


Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi".

Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.

Saya telah dimaklumkan bahawa orang Yahudi pada waktu ini sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di Negara Haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman. Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis nabi saw....cuma keegoaan dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari semasa ke semasa.

Ramai juga yang bertanya tentang bagaimanakah pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru, pokok kaktus dan sebagainya. Moga gambar pokok Gharqad yang dipapar di atas dapat menyelesaikan kekeliruan tentang gambaran pokok Gharqad. Dan yang pastinya pokok Gharqad tidak sesuai dengan iklim di Malaysia dan ia tidak tumbuh di tempat kita. Wallahu'alam.

Mengapakah Hanya Mengucapkan Salam Kepada Orang Yang Dikenali Sahaja?

Oleh: Ustaz Shauqi

(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran April 2008)

Masyarakat Melayu memang amat terkenal dengan masyarakat yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia sesuai dengan ajaran dan akhlak yang diajar di dalam Islam. Antara adab Melayu yang telah dipraktikkan sejak sekian lama ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan seseorang. Amalan ini telah berjaya mengukuhkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang sesama masyarakat. Ia juga telah berjaya mengikis perasaan hasad dengki, sombong dan seumpamanya yang merupakan sifat yang tercela dan keji yang boleh meruntuhkan ikatan dan persaudaraan di dalam sesebuah masyarakat.

Namun sesuatu yang amat mengecewakan dewasa ini dalam masyarakat kita ialah kurangnya ucapan salam apabila bertemu. Tambah menyedihkan lagi ialah ucapan salam hanya diberikan apabila bertemu dengan seseorang yang dikenali sahaja, tetapi salam tidak diucapkan apabila bertemu mereka yang tidak dikenali walaupun bertemu dengan sesama bangsa dan sesama muslim. Mengapakah perkara seumpama ini terjadi? Apakah ini menunjukkan bahawa budaya dan akhlak Melayu yang baik kian terhakis?

Sama-samalah kita bermuhasabah dan merenung perkara ini kembali. Ucapan salam hendaklah diaktifkan semula sesuai dengan budaya Melayu dan ajaran Islam.Kita hendaklah memberi dan mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja saudara muslim kita sama ada dikenali atau pun tidak. Dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim nabi saw telah ditanya oleh seorang lelaki tentang apakah amalan dalam Islam yang baik untuk dilakukan, lalu nabi saw bersabda yang bermaksud: ”Memberikan makanan (terutama kepada mereka yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada seseorang yang kamu kenali atau tidak kenali”. Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, nabi saw bersabda yang bermaksud: ‘Wahai manusia, tebarkanlah ucapan salam, berikanlah makan (kepada orang yang memerlukan), hubungkanlah silaturrahim, solatlah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, kelak kamu akan masuk syurga dengan sejahtera’.

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita membudayakan semula hadis nabi saw berkaitan dengan ucapan salam ini serta menghidupkan kembali budaya Melayu yang baik ini dalam kehidupan kita demi kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud: ‘Demi Allah yang diriku berada dalam genggamanNya, kamu tidak masuk syurga selagi kamu tidak beriman, dan kamu tidak dianggap beriman selagi kamu tidak berkasih sayang, mahukah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya akan membawa kasih sayang di antara kamu ? Tebarkanlah salam sesama kamu’.

Marilah juga sama-sama kita renungkan betapa besarnya fadhilat mengucapkan salam. Mengucapkan salam merupakan di antara sebab yang memungkinkan seseorang itu memasuki syurga Allah yang diimpi-impikan. Akan tetapi, amat malang apabila kita terdapat di antara umat Islam yang memandang remeh tentang ucapan salam ini lantas meringan-ringankannya, sedangkan pahala di sisi Allah bagi orang yang mengucapkan salam amatlah besar. Justeru, janganlah kita tergolong dalam orang yang rugi, sebaliknya sama-samalah kita berusaha untuk merebut peluang yang disediakan oleh Allah ini dengan kita mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja sama ada kepada orang yang kita kenali atau pun tidak, dan kepada orang kaya mahu pun miskin. Ucapkanlah salam dengan penuh keikhlasan dan dengan ucapan yang betul agar kita benar-benar dapat mengambil manfaat daripada salam yang diucapkan.

Janganlah juga kita menjadi seperti sesetengah orang yang juga mengucapkan salam, tetapi sekadar mengucapkannya ibarat melepaskan batuk ditangga iaitu dengan tiada kesungguhan, tiada keikhlasan dan ucapan salam yang tidak betul dan tepat mengikut makhraj dan sebutannya. Oleh kerana ingin cepat, ada yang sekadar menyatakan ‘samaikum’, samakum’, ‘haikum’, hakum’, ‘saikum’ dan sebagainya. Apa ertinya ucapan-ucapan ini yang langsung tidak mengandungi ucapan salam sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’. Bukannya susah untuk kita mengucapkannya dengan betul iaitu sekurang-kurangnya ‘assalamu ‘alaikum’. Oleh kerana ucapan salam yang telah diucapkan sebelum ini tidak bertepatan dengan kehendak syara’, maka kita dapati ucapan tersebut tidak membawa apa-apa makna, serta tidak dapat menjalinkan kasih sayang di antara sesama muslim. Oleh itu, bertindaklah sekarang untuk melakukan perubahan dan berada di landasan yang benar!.

Monday, April 7, 2008

Wajib Berdiri Bagi Solat Fardu Sahaja

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran Mac 2008)


Berdiri ketika menunaikan solat fardu hukumnya adalah wajib. Dimaksudkan dengan berdiri ialah dengan berada dalam keadaan tegak di atas kaki. Sehubungan dengan itu, jika seseorang yang mampu berdiri ketika menunaikan solat fardu tetapi tidak berbuat demikian, maka solatnya dianggap tidak sah dan batal. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 238 yang bermaksud: “...Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan penuh khusyuk”.

Sahabat nabi iaitu ‘Imran bin Husain r.a telah bertanya kepada nabi tentang bagaimana beliau hendak melakukan solat dalam keadaan beliau mempunyai penyakit buasir, lalu nabi Muhammad saw menjelaskan kepada beliau: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Telah nyata daripada hadis ini bahawa Rasulullah saw mengarahkan ‘Imran bin Husain untuk berdiri sekiranya berkemampuan walaupun dia berada dalam keadaan sakit, kerana solat yang ditunaikannya itu adalah solat fardu.

Sehubungan dengan itu, berdiri dalam solat fardhu bagi yang berkemampuan dikategorikan sebagai rukun di dalam solat di sisi ulama’ kempat-empat mazhab iaitu al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafie’iyyah dan al-Hanabilah (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh karangan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhayli, jilid 1, halaman 623-631, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik 1989). Keadaan seseorang itu dianggap berdiri menurut ulama’ aliran mazhab Hanafi ialah sekiranya seseorang itu meluruskan tangannya, maka ia tidak dapat menyentuh kedua belah lututnya.

Manakala ulama’ aliran mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat bahawa keadaan seseorang itu dianggap berdiri ialah apabila seseorang itu tidak berada dalam keadaan duduk serta tidak berada dalam keadaan bongkok kerana ia akan menjadi rukuk. Akan tetapi sekiranya sekadar menundukkan kepala, maka ia tidak mengapa kerana masih lagi dinamakan sebagai orang yang berdiri.

Ulama’ aliran mazhab Syafei pula mensyaratkan agar ditegakkan tulang belakang ketika berdiri dan tidak disyaratkan untuk ditegakkan tengkuk. Sekiranya seseorang itu berdiri dalam keadaan condong ke kanan atau ke kiri sehingga tidak dapat dikatakan sebagai berdiri, maka tidak sah perbuatan tersebut kerana meninggalkan yang wajib tanpa sebarang keuzuran. Berdiri dalam keadaan condong yang menafikan berada dalam keadaan berdiri ialah badannya berada dalam keadaan yang lebih hampir kepada rukuk daripada berdiri. Jumhur ulama’ menyatakan bahawa wajib seseorang itu berdiri ketika takbiratul ihram dan membaca Fatihah sahaja (Rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, jilid 1, halaman 636).

al-Imam al-Nawawi dalam Sharh al-Muhazzab ketika membincangkan persoalan berdiri ketika solat ini telah menyatakan bahawa , “Berdiri yang menjadi syarat sahnya solat adalah menegakkan tulang belakang. Bagi orang yang berkemampuan, ia tidak boleh berdiri dengan mengiring ke salah satu arah sehingga tidak memperlihatkan bentuk berdiri yang sebenarnya. Ia juga tidak boleh membongkok seperti orang yang rukuk. Sekiranya ia membongkok sehingga mirip dengan orang yang sedang rukuk (walaupun tidak sampai ke tahap rukuk), maka solatnya tidak sah, kerana ia tidak termasuk dalam kategori berdiri tegak. Jika ia merendahkan kepalanya tanpa membongkok, maka solatnya sah tanpa sebarang khilaf kerana ia masih dianggap berdiri.

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, telah dinyatakan bahawa seseorang itu dianggap berdiri apabila dia berada dalam keadaan tegak. Sekiranya dia membongkok (tanpa keuzuran) dengan sekira-kira tapak tangannya boleh menyentuh lututnya, maka batal solatnya. Ini kerana rukun berdiri sudah tidak ada lagi di dalam solatnya itu.

Seringkali berlaku dalam masyarakat kita mereka yang masih kurang faham tentang kewajipan berdiri ketika menunaikan solat fardu ini. Oleh yang demikian terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menunaikan solat di atas kerusi dari mula sehingga akhir sedangkan beliau mampu berdiri walau sekurang-kurangnya untuk bertakbiratul ihram! Berdasarkan hadis dan ajaran nabi saw, dapat diambil panduan bahawa seseorang yang sakit yang tidak mampu melakukan rukuk dan sujud, tetapi mampu berdiri, maka ia wajib berdiri. Jika seseorang itu tidak berdiri lalu menunaikan solat dalam keadaan duduk di atas kerusi (padahal ia mampu berdiri), maka solat itu dikira batal dan tidak sah. Hal ini adalah disebabkan mereka telah meninggalkan kewajipan berdiri, sedangkan mereka mampu melakukannya.

Justeru, sekiranya orang yang menunaikan solat itu hanya mampu berdiri seketika sahaja di dalam solat, dan tidak mampu berdiri pada ketika yang lain, maka dia hendaklah berdiri pada ketika yang dia mampu itu dan duduk pada ketika yang sudah tidak berkemampuan.


Tidak Wajib Berdiri Ketika Menunaikan Solat Sunat

Seseorang yang melakukan solat sunat tidak diwajibkan berdiri sebagaimana wajibnya berdiri ketika menunaikan solat fardhu. Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan solat dalam keadaan berdiri, maka itu lebih utama (afdhal), dan sesiapa yang menunaikan solat dalam keadaan duduk, maka ia mendapat pahala separuh daripada orang solat dalam keadaan berdiri, dan sesiapa yang melakukan solat dalam keadaan berbaring akan mendapat pahala separuh daripada orang yang menunaikannya dalam keadaan duduk.”

Selain itu, telah diriwayatkan juga bahawa Rasulullah saw telah melakukan solat sunat di atas tunggangan dalam keadaan duduk. Dalam Sahih al-Bukhari disebutkan hadis daripada Sayyidina Ibn ‘Umar r.a bahawa ia mengatakan: “Nabi Muhammad saw ketika bermusafir telah melakukan solat di atas tunggangan (dalam keadaan duduk)...”. Dimaksudkan solat yang dilakukan oleh nabi di sini ialah solat sunat.

Dalam Sahih al-Bukhari, telah disebutkan bahawa Sayyidah ‘A’isyah r.a Ummul Mukminin pernah berkata bahawa, “Rasulullah saw menunaikan solat dalam keadaan duduk. Pada ketika itu, baginda membaca Al-Quran (bacaan dalam solat) juga dalam keadaan duduk. Apabila bacaan baginda berbaki sekitar tiga puluh atau empat puluh ayat, maka baginda saw pun berdiri dan membaca ayat-ayat tersebut dalam keadaan berdiri. Seterusnya Rasulullah saw rukuk, dan kemudiannya sujud. Baginda melakukan seperti itu juga dalam rakaat yang kedua. Setelah selesai menunaikan solat, baginda melihat sama ada aku (Aisyah) masih berjaga atau tidur, Sekiranya masih berjaga baginda akan berbicara denganku, dan sekiranya aku sedang tidur, baginda akan berbaring.” Solat yang ditunaikan oleh Rasulullah ini ialah solat malam (qiamullail) yang merupakan solat sunat.

Diriwayatkan daripada Sayyidina Anas r.a, bahawa pada suatu hari Rasulullah saw keluar dan baginda melihat terdapat sebilangan orang yang melakukan solat dalam keadaan duduk. Lantas, nabi bersabda: “(pahala) solat orang yang duduk adalah separuh daripada (pahala) solat orang yang berdiri.”

Dalam kitab Majmu’, al-Imam al-Nawawi telah mengatakan bahawa, “Harus menunaikan solat sunat dalam keadaan duduk, meskipun seseorang itu berkemampuan untuk berdiri. Perkara ini merupakan suatu ijma’ (kesepakatan ulama’) berdasarkan dalil-dalil hadis yang sahih... Akan tetapi pahalanya adalah separuh daripada pahala orang yang menunaikan solat dalam keadaan berdiri sebagaimana yang terdapat di dalam hadis nabi saw. Namun sekiranya seseorang itu menunaikan solat sunat secara duduk atau berbaring adalah kerana ia tidak mampu untuk berdiri atau duduk kerana sakit atau seumpamanya, maka pahalanya adalah sama dengan pahala orang yang berdiri tanpa sebarang khilaf. Ia adalah sama seperti solat fardu yang dilakukan secara duduk atau berbaring kerana tidak mampu berdiri disebabkan sakit, maka pahalanya pun sama seperti pahala orang yang menunaikannya dalam keadaan berdiri tanpa sebarang khilaf”.

Saturday, April 5, 2008

Thursday, April 3, 2008

Rahsia Kebahagiaan

Oleh: Ustaz Shauqi

Antara sedar atau tidak kita sering mengaitkan erti kebahagiaan diri dengan kemewahan dan keselesaan hidup. Kita sering memandang bahawa kebendaan itu adalah unsur pertama yang menjamin kebahagiaan dan ketenangan kita. Kita sebenarnya sudah lupa bahawa ketenangan dan kebahagiaan itu datangnya dari dalam jiwa dan ia tidak semestinya dapat kita kecapi melalui apa yang bersifat kebendaan atau material.

Tidak akan wujud kebahagiaan melainkan terdapat ketenangan terutama ketenangan jiwa dan rohani. Ketenangan merupakan sesuatu yang paling berharga dalam diri kita yang tidak dapat dibeli walau dengan wang berjuta. Dan ketenangan yang paling penting bagi seorang manusia ialah apabila dia dapat mengenal siapakah dirinya dan siapakah penciptanya, untuk apakah dia dijadikan dan apakah kesudahan yang akan menantinya. Persoalan seperti ini hanya dapat dihuraikan oleh hati yang beriman, sama sekali tidak akan dapat dikecapi oleh hati yang kufur dan engkar kepada Tuhannya.

Orang yang kufur kepada Allah swt, walaupun pada zahirnya mereka kelihatan seperti orang yang paling bahagia dan gembira hidupnya dengan segala macam kemewahan dan keselesaan, namun pada hakikatnya hidup mereka terseksa dan menderita. Jiwa mereka tidak pernah puas dan perspektif mereka terhadap kehidupan terbatas di dalam ruang lingkup hidup di dunia ini sahaja. Mereka tidak pernah terfikir tentang kehidupan di alam akhirat. Segala tumpuan dan pemikiran mereka dihabiskan untuk mencari kesenangan hidup di dunia ini yang bersifat sementara dan tidak kekal.

Maka apabila mereka menghampiri hari-hari tua, jiwa mereka akan bertambah derita dalam keadaan fizikal mereka yang menjadi semakin lemah. Mereka sebenarnya tidak dapat menerima hakikat yang mereka akan menjadi tua dan akan meninggal dunia. Pada saat itu mereka akan merasakan hidup ini tidak mempunyai tujuan yang sebenar dan betapa lemahnya diri seorang manusia.

Orang yang beriman ialah orang yang memahami rahsia kehidupan ini, mengenali diri mereka dan mengenali Allah swt. Mereka mengetahui tujuan hidup mereka di dunia ini dan mereka tahu apa yang menanti mereka di hari akhirat kelak. Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56, maksudnya: “Tidak Aku (Allah) Ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu (Allah)”.

Kebahagiaan ialah satu unsur rohani yang dapat dirasai oleh setiap orang mukmin yang mengakui Allah swt sebagai tuhannya dengan penuh kerelaan hati, menerima Islam sebagai cara hidupnya di dunia ini dan mengakui Muhammad saw sebagai rasul utusan Allah swt kepada umat manusia. Semua itu dilakukannya dengan penuh kerelaan, kesedaran dan keinsafan tanpa sebarang paksaan. Ini adalah kebahagiaan yang hakiki berbeza dengan kebahagiaan sementara yang datang dari pengumpulan harta kemewahan, pangkat dan cinta kepada kebanggaan dan pujian dari masyarakat.

Kebahagiaan dan kegembiraan bagi seorang mukmin ialah dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik dan soleh. Bertambah banyak amalan kebaikan yang dilakukannya semakin tenang jiwanya dan semakin bahagia hatinya. Di antara rahsia kebahagiaan bagi seseorang mukmin ialah sabar dan iman yang jitu. Sabar sebagaimana sabarnya para sahabat Rasulullah. Mereka adalah generasi yang menjadi contoh dan ikutan kepada ummah. Generasi yang memahami maksud kehidupan ini lalu mementingkan kebahagiaan di akhirat melebihi kebahagiaan dunia yang fana. Mereka sanggup bermatian-matian dan menanggung segala jerih-perih penderitaan demi mencapai keredhoaan Allah swt. Lihatlah bagaimana kesabaran mereka di dalam menjaga agama Allah dan mengembangkannya ke serata alam untuk menyelamatkan manusia dari kekufuran dan kegelapan. Tidak ada satu ancaman dan seksaan di dunia ini yang mampu membuatkan mereka berganjak dari prinsip mereka.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Anehnya perihal orang yang beriman, sesungguhnya setiap keadaan mendatangkan kebaikan kepadanya. Apabila dia mendapat kenikmatan dan kegembiraan dia bersyukur maka itu adalah kebaikan baginya. Apabila dia mendapat kesusahan dan mudharat dia bersabar dan itu merupakan kebaikan baginya.”

Berbahagialah orang yang beriman. Meskipun mereka diuji sama ada dengan kemelaratan hidup ataupun dengan kemewahan dan keselesaan, mereka tetap bersabar dan bertasbih memuji keagungan Allah swt. Contohilah Nabi Sulaiman a.s. yang semakin besar kerajaan dan pemerintahan baginda, semakin tunduk baginda kepada kebesaran Allah swt. Dan lihatlah para sahabat seperti Mus`ab bin `Umair ra, yang sanggup berpisah dengan kemewahan hidup demi memperjuangkan Islam bersama junjungan tercinta Rasulullah saw. Pada ketika beliau syahid, tidak ada apa yang boleh menutupi jasadnya melainkan sehelai kain yang apabila ditarik untuk menutup wajahnya, terbuka kakinya dan begitulah sebaliknya.

Orang yang beriman adalah golongan yang paling berhak untuk menjadi orang yang paling bahagia di dunia ini. Ini adalah kerana kebahagiaan yang mereka kecapi tidak terhenti setakat kehidupan mereka di dunia ini, bahkan berterusan ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat di saat mereka menemui Allah swt.

Pesta Buku Antarabangsa

Sukacita dimaklumkan bahawa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 akan
diadakan pada:

Tarikh : 4 hingga 13 April 2008
Masa : 10.00 pg 7.00 mlm (Isnin-Khamis) & 10.00 pg 10.00 mlm (Jumaat-Ahad)
Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC)KL

Tuesday, April 1, 2008

Boikot barangan Belanda

Oleh Bernama
Selasa, 01 April 2008

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan bekerjasama dengan anggota Majlis Permuafakatan Antara NGO (Mapan) dan Persatuan Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menggesa pengguna Islam di negara ini melancarkan kempen boikot terpilih produk keluaran Belanda.

Pengarah Projek PPIM Noor Nirwandy Mat Noordin berkata pemulauan itu adalah tanda bantahan terhadap tindakan salah seorang anggota Parlimen Belanda, Greert Wilders mengeluarkan sebuah filem pendek yang secara terang-terangan menghina Islam bertajuk 'Fitna' menerusi Internet.

"Boikot terpilih ini adalah usaha kita menyuarakan bantahan secara aman terhadap perhinaan dan provokasi terhadap Islam.

"Tiada gunanya kita bersikap agresif tetapi kita perlu bangkit menyuarakan bantahan untuk mempertahankan hak dan maruah umat Islam dengan bijaksana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Nirwandy berkata produk-produk terpilih keluaran Belanda yang perlu diboikot termasuk minyak Shell, susu Dutch Lady, barangan elektrik Philips, coklat Forrero Roche, insurans ING, teh Lipton, perisa makanan Knor dan cecair mandian Dove.

Katanya, pasaraya Mydin akan bekerjasama meletakkan tanda produk keluaran Belanda yang dijual di pasar raya itu bagi membolehkan pengguna mengenalpasti produk tersebut.

"PPIM yakin boikot terpilih produk Belanda ini akan menghantar satu mesej yang jelas kepada mereka supaya tidak mempermainkan sensitiviti dan maruah umat Islam selain belajar menghormati sesama manusia," katanya.

April Fool

Hari ini tanggal 1 April. Biasanya apabila datang 1 April maka remaja Islam terikut-ikut dengan budaya barat yang menjadikan tarikh ini sebagai hari untuk 'memperbodohkan' atau 'mengenakan' orang lain. Telah dikatakan bahawa sejarah 'April Fool' merujuk kepada Tentera Kristian di Sepanyol yang berjaya menipu dan membunuh umat Islam secara beramai-ramai di Sepanyol, sehinggakan tarikh keramat ini dirayakan pada setiap tahun sebagai 'The Aprils Fool Day'. Walaupun cerita atau kisah ini tidak dapat dipastikan kesahihannya.... namun budaya menyambut April Fool ini seolah-olah telah dapat diterima di seluruh dunia termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri. Sebagai muslim, kita hendaklah menjadikan ajaran Islam sebagai panduan supaya tidak terikut-ikut dengan sesuatu yang bukan daripada ajaran Islam, apatah lagi sesuatu yang boleh membawa kepada implikasi yang negatif. Sabda Rasulullah saw yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: "Sesiapa yang meniru sesuatu kaum (golongan), dia termasuk dalam kalangan mereka". Mereka yang menyambut April Fool ini sanggup berbuat apa sahaja termasuk menipu dan sebagainya semata-mata untuk menghidupkan budaya ini. Ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menipu, mengaibkan orang dan sebagainya merupakan perkara dosa yang hanya boleh merenggangkan dan memutuskan hubungan sesama manusia. Walaupun kadang-kadang ia hanyalah sekadar untuk bergurau, namun gurauan itu pun ada had dan batasnya. Gurauan memang merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Hidup dirasakan bertambah ceria dan bererti apabila terdapatnya gurauan yang menyenangkan hati dan perasaan. Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan dengan secara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperoleh, sebaliknya kekusutan, dendam dan pelbagai perkara negatif lain yang akan hadir dalam kehidupan. Justeru, seseorang yang hendak bergurau, hendaklah memelihara adab-adab gurauan agar gurauan tersebut berlaku dalam suasana kasih sayang dan keceriaan dan tidak menyebabkan berlakunya permusuhan dan dendam. Itulah indahnya Islam!. Sehubungan dengan itu, hindarkanlah daripada gurauan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, menghina orang lain, memperlekehkan seseorang, menggelarkan orang lain dengan sesuatu gelaran yang tidak disukainya, apatah lagi apabila mereka-reka cerita dan berbohong dalam bergurau.

Saturday, March 29, 2008

Hukum Memakai Gelang Magnet

Saya sering ditanya tentang hukum bagi orang lelaki memakai gelang magnet untuk tujuan perubatan. Apatah lagi kita dapati dewasa ini semakin ramai orang lelaki yang memakainya. Lalu ia menimbulkan satu polemik dalam masyarakat...ada yang berpendapat bahawa ianya adalah haram...dan ada pula yang menyatakan bahawa ianya adalah harus. Justeru, kita hendaklah mengenal pasti sebab pemakaian gelang tersebut untuk mengetahui sama ada ia dibenarkan oleh syarak atau tidak. Sememangnya gelang asalnya merupakan perhiasan bagi wanita. Orang lelaki tidak dibenarkan menyerupai wanita dan begitulah sebaliknya wanita tidak dibenarkan oleh syarak untuk meniru atau menyerupai lelaki. Oleh itu, tidak wajar seseorang lelaki memakai gelang tanpa sebab kerana ia boleh dikategorikan sebagai meniru wanita yang diharamkan di dalam Islam kerana Rasulullah melaknat orang lelaki menyerupai wanita.

Lalu, apakah sebab yang mengharuskan orang lelaki memakai gelang? Mereka yang menyatakan bahawa pemakaian gelang tersebut adalah haram menyandarkan dalil pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban bahawa Nabi saw telah melihat seorang lelaki memakai gelang tembaga di tangannya, lalu nabi saw menyuruh agar ditanggalkan gelang tersebut dengan sabda baginda yang bermaksud: "Tanggalkan dengan segera, ia tidak akan menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, dan sesungguhnya sekiranya kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selamanya". Perbincangan ulama' tentang hadis ini menyatakan bahawa sebab atau punca nabi melarang memakai gelang tersebut kerana ia dipakai sebagai tangkal untuk melindungi seseorang daripada penyakit sedangkan kepercayaan tersebut langsung tidak berasas dan tidak berdasarkan sebarang bukti, sebaliknya kepercayaan seumpama itu membawa syirik kepada Allah swt.

Pandangan peribadi saya dalam hal ini ialah harus orang lelaki memakai gelang magnet sekiranya 'terbukti secara saintifik' atau mendapat 'pengesahan doktor pakar' bahawa ia memang boleh mengubati penyakit. Ini kerana dalam hadis yang sahih memang jelas dilarang bagi orang lelaki untuk memakai sutera dan emas. Namun, nabi saw telah membenarkan Abdul Rahman Bin Auf dan Zubayr memakai baju sutera bagi mengubati penyakit gatal yang dihidapi oleh mereka berdua (hadis muttafaq 'alaih). Begitu juga nabi saw menyuruh seorang sahabat menampal hidungnya yang terpotong dalam peperangan dengan emas setelah usaha menampalnya dengan perak tidak berjaya kerana ia menyebabkan busuk. Dari hadis ini jelas menunjukkan bahawa emas dan sutera yang diharamkan bagi lelaki telah dibenarkan dan diharuskan menggunakannya untuk tujuan perubatan.

Oleh itu, pada pendapat saya gelang magnet sekiranya terbukti boleh mengubat penyakit, maka ia diharuskan. Kepastian bahawa gelang tersebut boleh mengubat penyakit mestilah diakui oleh tokoh perubatan dan golongan pakar, janganlah ia hanya berdasarkan sangkaan dan waham semata-mata. Namun kita mengharapkan agar majlis fatwa dapat berbincang dan mengeluarkan fatwa tentang perkara ini. wallahu'alam.

Wednesday, March 26, 2008

Kenali Tokoh: Tok Kenali


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Nama sebenar beliau ialah Mohamad Yusof Bin Ahmad. Beliau juga dikenali dengan nama timangannya iaitu Awang dan Awang Kenali. Akhirnya beliau dikenali sebagai Tok Kenali. Beliau lahir pada tahun 1287H bersamaan 1868M di Kubang Kerian, Kota Bharu. Bapanya seorang petani, manakala ibunya Fatimah adalah seorang anak tok lebai yang berilmu dan kuat ibadat dikenali sebagai Tok Leh.

Tok Kenali menjadi yatim sejak kecil apabila ayahnya meninggal dunia pada usianya yang baru mencecah 5 tahun. Seterusnya beliau dipelihara oleh datuknya, Tok Leh. Hasil didikan datuknya, Tok Kenali boleh membaca dan menulis sejak dari kecil. Ibunya pula sentiasa mendoakan agar anaknya ini menjadi orang yang berilmu dan dapat menyumbangkan ilmunya kepada masyarakat. Selain itu, nenek tirinya iaitu Tok Mek Ngah amat prihatin terhadap makanan dan minuman yang dimakan oleh Tok Kenali. Dia tidak membenarkan Tok Kenali makan makanan sembarangan sebaliknya beliau sendiri yang akan memasak untuk diberikan kepada cucu kesayangannya itu.

Pengajaran yang wajar diambil daripada kehidupan Tok Kenali semasa kecil ini ialah doa ibu terhadap anak dan makanan yang dimakan hendaklah dipastikan secara bersungguh-sungguh agar makanan tersebut bersih, halal dan suci.

Tok Kenali merupakan kanak-kanak yang pintar. Ekoran kepintarannya itu, semasa berusia 9 tahun, beliau telah dilantik untuk menjadi kerani oleh Penggawa atau Penghulu Kubang Kerian iaitu Tok Kweng Ahmad. Tugasnya ialah membilang pokok buah-buahan orang kampung yang berbuah untuk dipungut cukainya oleh Pejabat Penggawa. Tok Kenali mula belajar al-Quran sejak kecil daripada datuknya iaitu Tok Leh. Seterusnya beliau berguru dengan Tuan Guru haji Ibrahim. Ingatan Tok Kenali cukup kuat, sehinggakan pada usia 6 tahun, beliau sudah mampu mengingati dengan baik pelajaran yang dipelajarinya, di samping sudah dapat membaca al-Quran dengan baik.

Semasa Tok Kenali berumur 10 tahun, beliau berulang-alaik ke Kota Bharu yang jauhnya lebih kurang 8 kilometer dengan berjalan kaki. Usaha gigih yang dilakukan oleh beliau ini adalah semata-mata untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Masjid Muhammadi terutamanya ilmu nahu Arab. Beliau berkeyakinan bahawa asas kepada pemahaman terhadap al-Quran dan hadis ialah penguasaan terhadap ilmu bahasa Arab terlebih dahulu kerana kedua-dua sumber utama dalam Islam diturunkan dalam bahasa Arab.

Ketika berumur 18 tahun, Tok Kenali melanjutkan pengajian agamanya di tanah suci Makkah. Kesungguhan Tok Kenali belajar ilmu di Makkah membuatkan Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad Bin Ahmad Zain Mustafa al-Fatani telah mengambilnya sebagai anak angkat. Selama lebih kurang 25 tahun menuntut ilmu daripada alim ulamak di tanah suci Makkah, membuatkan Tok Kenali berjaya menguasai pelbagai disiplin ilmu.

Tok Kenali berjaya menjadi seorang ulamak yang pakar dalam bidang nahu dan tatabahasa Arab. Dalam bidang fekah, beliau berjaya menguasai ilmu dalam keempat-empat mazhab iaitu Syafei, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Namun, mazhab Syafei menjadi asas kepada pegangannya. Dalam bidang tasawwuf, Tok Kenali mirip kepada aliran tasawwuf yang dibawa oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali. Manakala dalam bidang akidah, beliau mirip kepada aliran Abu Hassan al-Asyaari dan Abu Mansur al-Maturidi.

Tok Kenali pulang ke tanahair untuk mencurahkan ilmu yang dipelajarinya pada tahun 1908. Beliau mengambil keputusan untuk pulang juga adalah ekoran kematian guru dan ayah angkat yang disayanginya iaitu Syeikh Wan Ahmad yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi Makkah pada tahun 1906.

Sekembalinya beliau ke tanahair, beliau telah mengasaskan penubuhan dua buah pondok di kampung kelahirannya dalam mukim Kenali. Selain mengajar di pondok, beliau juga mencurahkan ilmu di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Setelah kematian ibunya, beliau berhijrah ke Kota Bharu dan menjadi tenaga pengajar utama di Masjid Muhammadi yang sememangnya terkenal pada waktu itu sebagai pusat pengajian terbilang di Nusantara. Setelah 5 tahun tinggal di Kota Bharu, beliau kembali semula ke kampungnya dan mengasaskan penubuhan pondok di Kampung Belukar dalam mukim Kenali. Dakwah yang disampaikan oleh Tok Kenali mendapat sambutan hangat apabila berduyun-duyun orang ramai datang untuk menuntut ilmu daripadanya. Apatah lagi pada waktu itu, masyarakat begitu mencintai ilmu dan majlis ilmu.

Tok Kenali bukan sahaja terkenal sebagai ulama besar pada waktu itu, tetapi masyarakat juga begitu kagum dengan akhlak dan keperibadian yang ditonjolkan oleh beliau. Antara akhlak dan keperibadian mulia Tok Kenali adalah seperti yang berikut:

  1. Sangat menghormati dan memulaikan ibu bapa. Beliau sering memohon restu daripada ibunya sebelum melakukan sesuatu.
  2. Seorang yang zuhud, merendah diri, sangat pemurah dan suka menderma.
  3. Sentiasa berusaha memenuhi jemputan dan undangan orang ramai. Beliau tidak menghampakan hajat masyarakat terhadapnya kecuali apabila beliau mendapat keuzuran.
  4. Gemar beriktikaf di masjid, membaca al-Quran dan banyak berzikir kepada Allah.
  5. Minat yang tinggi terhadap ilmu dan suka membaca.
  6. Suka berjalan kaki.
  7. Tidak bermewah dalam berpakaian, sebaliknya pakaiannya cukup berserdahana.
  8. Penyabar dan tidak mudah marah.

Antara sumbangan Tok Kenali dalam masyarakat Islam di Nusantara ialah:

  1. Mendirikan sistem pengajian pondok yang berkonsepkan pengajian secara 'halaqah'.
  2. Menggalakkan sistem hafazan dalam pembelajaran bahasa Arab, tauhid, fekah dan tasawwuf.
  3. Melahirkan ulama dalam pelbagai disiplin ilmu agama.
  4. Mendorong pembukaan sekolah-sekolah Melayu.
  5. Mengumpul dan menyimpan hasil kesusasteraan Melayu klasik.

Tok Kenali menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah 2 bulan diserang sakit kaki. Walaupun beliau berada dalam kesakitan kerana menderita sakit kaki dan tidak dapat berjalan, namun beliau tidak pernah mengeluh di atas segala kesakitan yang ditanggungnya itu. Beliau meninggal dunia pada hari Ahad 2 Syaaban 1352 Hijrah bersamaan 19 November 1933 Masihi ketika berusia 65 tahun. Lebih daripada 2500 orang yang datang dari segenap pelusuk untuk menziarahi jenazah Tok Kenali. Lebih daripada seribu orang telah menunaikan solat jenazah untuk allahyarham Tok Kenali.

Perdamaian Dengan Israel: Adakah Syara’ Mengharuskannya?

Oleh: Ustaz Shauqi


Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, Inggeris dan Yahudi telah bersekongkol menentang Khilafah Uthmaniah. Kesan daripada peperangan ini ialah tewasnya Daulah Uthmaniah. Dengan kekalahan itu, Palestin telah menjadi milik Britain, lalu Britain telah menyerahkan Negara Palestin kepada Yahudi pada November 1917. Dengan ini bermulalah penempatan dan penguasaan Yahudi terhadap negara Palestin dan bilangan orang Yahudi yang mendiami Palestin telah bertambah dari semasa ke semasa. Lalu, Yahudi telah mengisytiharkan dengan rasminya kependudukan mereka di Palestin sebagai sebuah negara pada tahun 1948.

Semenjak daripada peristiwa itu, rakyat Palestin telah berusaha sedaya upaya untuk tidak berundur dari bumi Palestin. Mereka telah melancarkan serangan jihad terhadap Yahudi. Namun mereka telah ditewaskan, sebaliknya Yahudi telah mengisytiharkan Palestin sebagai negara mereka. Yahudi juga telah membahagikan Palestin kepada tiga bahagian: bahagian terbesar dari bumi Palestin menjadi hak milik negara Yahudi, Semenanjung Barat diserahkan kepada Jordan manakala Semenanjung Gaza telah diserahkan kepada Mesir.

Pada tahun 1967, Yahudi telah bertindak untuk menguasai kawasan-kawasan Palestin yang belum dikuasai oleh mereka. Dalam usaha ini, Yahudi telah menggunakan kekuatan tenteranya. Namun rakyat Islam Palestin tidak berdiam diri, malahan mereka berjuang habis-habisan dan berjihad menentang Yahudi. Rakyat Islam Palestin telah melancarkan ‘intifadah’ untuk menentang Yahudi pada tanggal 8 Disember 1987. Pengorbanan dan perjuangan rakyat Palestin ini membuahkan hasil apabila dapat mengkucar-kacirkan tentera Yahudi di samping dapat memusnahkan kereta-kereta kebal, kereta-kereta perisai dan sebagainya yang menjadi milik Yahudi.

Pada waktu gerakan ‘intifadah’ ini memuncak yang merisaukan Yahudi, maka terdengarlah suara-suara daripada luar yang meminta agar dimeterai perjanjian damai dengan Yahudi ini. Suara-suara itu meminta agar diadakan perdamaian dengan pengunduran puak Yahudi sedikit demi sedikit dari bumi suci umat Islam itu.

Maka dari sinilah, datangnya fatwa dari ulama-ulama Islam yang menghalang pengunduran umat Islam dari mana-mana bahagian dari bumi Palestin. Ini adalah kerana tanah Palestin melibatkan aqidah dan agama umat Islam yang tidak seharusnya sesiapapun mengabaikan bumi suci yang telah dibuka oleh orang Islam terdahulu dengan darah-darah mereka ini, dan yang terus memeliharanya sejak sekian lama.

Tambah memilukan lagi apabila keputusan Kongres Amerika bernombor (106) menyatakan bahawa bandar al-Quds sepatutnya menjadi ibu negara Israel untuk selama-lamanya. Dunia Islam dikejutkan dengan keputusan Kongres Amerika yang telah mengisytiharkan al-Quds sebagai milik Israel itu. Lalu, Majlis Fatwa Kerajaan Jordan menolak sekeras-kerasnya keputusan ini yang bercanggah dengan hak asasi manusia. Sesungguhnya keputusan Kongres Amerika itu telah menggambarkan permusuhan mereka yang nyata dengan aqidah setiap umat Islam di atas muka bumi ini. Amerika Syarikat dan Israel juga telah bersatu untuk mengembangkan kezaliman dan permusuhan mereka terhadap bumi Palestin.

Kekejaman Israel bukanlah perkara baru. Sejak mereka berjaya menguasai wilayah Palestin secara kekerasan dan rampasan, mereka sering sahaja melakukan siri serangan dan kezaliman kepada penduduk Palestin. Dalam pada itu, terdapat usaha-usaha yang dilakukan untuk berdamai dengan Israel. Apakah tindakan perdamaian dengan Israel merupakan sesuatu yang wajar dan dibenarkan oleh syarak?

Sebenarnya, perselisihan yang terdapat di kalangan para ulama’ hanyalah meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan perdamaian antara golongan Islam dan golongan yang memerangi Islam (ahlul harbi). Sebahagian daripada ulama’ melarang keras perdamaian ini, malahan tidak harus untuk bekerjasama dengan golongan yang memerangi umat Islam. Kenyataan ini adalah berdasarkan ayat-ayat Allah yang menyeru supaya berperang dengan golongan yang memerangi Islam sehinggalah mereka menyerah kalah dan patuh kepada pemerintahan Islam.

Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 29, maksudnya: “Perangilah orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada Hari Akhirat dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar( agama Allah ), (iaitu orang) yang diberikan al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk”.

Begitu juga firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 4 yang bermaksud: “Apabila kamu bertemu dengan orang kafir ( di medan perang ) maka pancunglah leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti”.

Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran ini menyeru kepada peperangan terhadap golongan yang memerangi Islam sehinggalah mereka menyerah atau menghentikan peperangan. Sesungguhnya apabila umat Islam masih diperangi oleh mereka, maka tiada perdamaian dan tiada kerjasama dengan mereka.

Manakala ulama’ yang mengharuskan perdamaian dengan golongan yang memerangi umat Islam pula, mereka berhujah bahawa ayat al-Quran yang diturunkan tidak pun menentang perdamaian . Ini dapat dilihat dengan jelas pada permulaan dakwah Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah”.

Selain daripada itu, Rasulullah juga pernah mengadakan beberapa perjanjian damai dengan musuh-musuh Islam seperti yang terdapat pada Perjanjian Hudaibiyyah di samping beberapa perjanjian yang telah dimeterai oleh Rasulullah dengan puak-puak Yahudi. Inilah sebenarnya hujah-hujah yang telah digunakan oleh segelintir ulama’ dalam menegakkan pendapat mengenai keharusan membuat perdamaian dengan Israel tatkala umat Islam tidak mampu untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam itu.

Sememangnya terdapat para ulama’ yang mengharuskan perdamaian sebagaimana yang terkandung dalam beberapa ayat al-Quran di samping perdamaian yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah sendiri. Akan tetapi harus diingat bahawa ulama’ telah mengharuskan perdamaian dengan musuh Islam adalah dengan syarat sekiranya umat Islam betul-betul berada dalam keadaan ‘darurat’ serta perdamaian itu akan membawa maslahat dan kebaikan kepada umat Islam sendiri.

Begitu pun, pendapat ulama’ yang mengharuskan perdamaian dengan musuh Islam adalah tidak termasuk perdamaian dengan Israel. Perdamaian hanya berlaku dengan musuh yang mempunyai negara, raja dan pemerintahan sendiri yang mana mereka itu ingin menguasai dan menawan negara-negara lain. Manakala Israel, mereka langsung tidak mempunyai negara, sebaliknya mereka telah merampas tanah umat Islam. Sekiranya perdamaian dilaksanakan dengan mereka, maka ini akan membawa erti bahawa umat Islam menyerahkan bumi mereka kepada musuh yang merampasnya dan seterusnya mengiktiraf kependudukan Israel yang telah dilakukan dengan secara zalim itu. Ini merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun jua!.

Siapakah yang berani mengatakan bahawa perdamaian dengan Yahudi itu mendatangkan maslahah dan kebaikan?. Apakah maslahah yang didapati oleh umat Islam apabila mereka meninggalkan bumi Palestin untuk dicengkam dan dikuasai oleh Yahudi, seterusnya umat Islam Palestin akan menjadi mangsa pelarian di tanahair sendiri. Sesungguhnya umat Islam mestilah meneruskan perjuangan yang jitu untuk mengembalikan bumi Palestin daripada tangan Yahudi yang durjana. Oleh itu, umat Islam seluruh dunia hendaklah terus berjuang untuk menyelamatkan Palestin daripada terus dinodai.

Monday, March 24, 2008

Temubual Dengan Mufti al-Quds dan Palestin


Semalam saya bersama En Zulkafly editor Majalah Milenia Muslim berkesempatan menemubual Mufti Besar al-Quds dan Palestin yang juga merangkap khatib Masjid Aqsa dan Pengerusi Majlis Fatwa Palestin iaitu Sheikh Muhammad Ahmad Husain. Beliau ditemani oleh seorang pegawai dari Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur. Temubual tersebut telah diadakan di Hotel Prince, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi. Beliau yang baharu dua tahun menjawat jawatan tersebut melahirkan kesedihan dan kekecewaan terhadap kekejaman rejim zionis Israel yang saban hari bertindak membunuh umat Islam di Palestin yang tidak berdosa. Malahan rejim zionis itu juga meneruskan kezaliman mereka dengan merampas tanah-tanah orang Palestin. Tambahan daripada itu, rejim zionis itu juga masih meneruskan usaha mengorek di bawah tanah Masjid al-Aqsa sehingga menyebabkan struktur masjid dan bangunan-bangunan berhampiran semakin goyah. Beliau amat mengharapkan perpaduan di antara umat Islam di Palestin akan bertambah kukuh dalam menghadapi kekejaman dan kezaliman tentera Israel, justeru beliau juga mengharapkan agar 'Hamas dan Fatah' dapat duduk semeja berbincang bagi mengukuhkan perpaduan di antara umat Islam di Palestin. Tidak lupa beliau turut menyeru dan menasihati umat Islam untuk belajar dan memahami Islam dengan baik serta berpegang dengan ajaran Islam yang mulia ini agar memperoleh keredhaan dan pertolongan Allah swt.

SedutanTazkirah Di Masjid al-Syakirin, KLCC