Followers

Tuesday, April 8, 2008

Mengapakah Hanya Mengucapkan Salam Kepada Orang Yang Dikenali Sahaja?

Oleh: Ustaz Shauqi

(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran April 2008)

Masyarakat Melayu memang amat terkenal dengan masyarakat yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia sesuai dengan ajaran dan akhlak yang diajar di dalam Islam. Antara adab Melayu yang telah dipraktikkan sejak sekian lama ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan seseorang. Amalan ini telah berjaya mengukuhkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang sesama masyarakat. Ia juga telah berjaya mengikis perasaan hasad dengki, sombong dan seumpamanya yang merupakan sifat yang tercela dan keji yang boleh meruntuhkan ikatan dan persaudaraan di dalam sesebuah masyarakat.

Namun sesuatu yang amat mengecewakan dewasa ini dalam masyarakat kita ialah kurangnya ucapan salam apabila bertemu. Tambah menyedihkan lagi ialah ucapan salam hanya diberikan apabila bertemu dengan seseorang yang dikenali sahaja, tetapi salam tidak diucapkan apabila bertemu mereka yang tidak dikenali walaupun bertemu dengan sesama bangsa dan sesama muslim. Mengapakah perkara seumpama ini terjadi? Apakah ini menunjukkan bahawa budaya dan akhlak Melayu yang baik kian terhakis?

Sama-samalah kita bermuhasabah dan merenung perkara ini kembali. Ucapan salam hendaklah diaktifkan semula sesuai dengan budaya Melayu dan ajaran Islam.Kita hendaklah memberi dan mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja saudara muslim kita sama ada dikenali atau pun tidak. Dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim nabi saw telah ditanya oleh seorang lelaki tentang apakah amalan dalam Islam yang baik untuk dilakukan, lalu nabi saw bersabda yang bermaksud: ”Memberikan makanan (terutama kepada mereka yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada seseorang yang kamu kenali atau tidak kenali”. Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, nabi saw bersabda yang bermaksud: ‘Wahai manusia, tebarkanlah ucapan salam, berikanlah makan (kepada orang yang memerlukan), hubungkanlah silaturrahim, solatlah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, kelak kamu akan masuk syurga dengan sejahtera’.

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita membudayakan semula hadis nabi saw berkaitan dengan ucapan salam ini serta menghidupkan kembali budaya Melayu yang baik ini dalam kehidupan kita demi kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud: ‘Demi Allah yang diriku berada dalam genggamanNya, kamu tidak masuk syurga selagi kamu tidak beriman, dan kamu tidak dianggap beriman selagi kamu tidak berkasih sayang, mahukah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya akan membawa kasih sayang di antara kamu ? Tebarkanlah salam sesama kamu’.

Marilah juga sama-sama kita renungkan betapa besarnya fadhilat mengucapkan salam. Mengucapkan salam merupakan di antara sebab yang memungkinkan seseorang itu memasuki syurga Allah yang diimpi-impikan. Akan tetapi, amat malang apabila kita terdapat di antara umat Islam yang memandang remeh tentang ucapan salam ini lantas meringan-ringankannya, sedangkan pahala di sisi Allah bagi orang yang mengucapkan salam amatlah besar. Justeru, janganlah kita tergolong dalam orang yang rugi, sebaliknya sama-samalah kita berusaha untuk merebut peluang yang disediakan oleh Allah ini dengan kita mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja sama ada kepada orang yang kita kenali atau pun tidak, dan kepada orang kaya mahu pun miskin. Ucapkanlah salam dengan penuh keikhlasan dan dengan ucapan yang betul agar kita benar-benar dapat mengambil manfaat daripada salam yang diucapkan.

Janganlah juga kita menjadi seperti sesetengah orang yang juga mengucapkan salam, tetapi sekadar mengucapkannya ibarat melepaskan batuk ditangga iaitu dengan tiada kesungguhan, tiada keikhlasan dan ucapan salam yang tidak betul dan tepat mengikut makhraj dan sebutannya. Oleh kerana ingin cepat, ada yang sekadar menyatakan ‘samaikum’, samakum’, ‘haikum’, hakum’, ‘saikum’ dan sebagainya. Apa ertinya ucapan-ucapan ini yang langsung tidak mengandungi ucapan salam sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’. Bukannya susah untuk kita mengucapkannya dengan betul iaitu sekurang-kurangnya ‘assalamu ‘alaikum’. Oleh kerana ucapan salam yang telah diucapkan sebelum ini tidak bertepatan dengan kehendak syara’, maka kita dapati ucapan tersebut tidak membawa apa-apa makna, serta tidak dapat menjalinkan kasih sayang di antara sesama muslim. Oleh itu, bertindaklah sekarang untuk melakukan perubahan dan berada di landasan yang benar!.

No comments:

Post a Comment