Followers

Sunday, November 11, 2007

Cahaya Islam Di Rome, Italy

Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Penulis telah bertemu dengan Fathi seorang warga Itali berketurunan Tunisia di Islamic Cultural Centre, Rome, Italy. Beliau menyatakan kepada penulis bahawa beliau sudah menetap di Rome selama 11 tahun dan beliau mendapat cahaya Islam ketika berada di Rome bukannya ketika berada di Tunisia. Ketika di Tunisia, beliau seorang yang boleh dikatakan sebagai Islam pada nama sahaja. Justeru, beliau tidak pernah kenal 'tikar sembahyang', apatah lagi untuk mengunjungi masjid.

Namun segalanya berubah apabila beliau berhijrah ke Rome untuk mengubah nasib dan mencari pekerjaan di bumi Eropah itu. Beliau dapat menyaksikan kecantikan dan keindahan Islam apabila berada di perantauan. Apa tidaknya, hubungan ukhuwwah sesama umat Islam amat kuat dan kukuh kerana masing-masing memerlukan di antara satu sama lain. Apatah lagi apabila mereka berhadapan dengan sesetengah orang Eropah yang agak sombong dan mementingkan diri sendiri. Di sinilah baru dapat dilihat bagaimana semangat persaudaraan yang diajar di dalam Islam merupakan sesuatu yang amat manis lagi bermakna. Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: 'Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara'.


Penulis bersama dua orang rakan telah melakukan satu perjalanan singkat ke beberapa negara Eropah sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah. Perjalanan ke Eropah dilakukan tanpa bernaung di bawah mana-mana agensi pelancongan sebaliknya perjalanan hanyalah berpandukan kepada peta dan 'bertanya'. Ia bertujuan untuk menimba pengalaman dan melihat suasana umat Islam serta perkembangan Islam di Eropah selain menyelami adat dan budaya masyarakat setempat yang sudah tentu berbeza daripada masyarakat di Malaysia.

Perjalanan dimulakan dengan menaiki kapal terbang dari Amman, Jordan menuju terus ke Rome, Italy. Apabila sampai sahaja di lapangan terbang di Rome, penulis mencari-cari tempat berehat dan sekaligus mencari tempat yang sesuai untuk menunaikan solat musafir (solat jamak dan qasar). Suatu perkara yang amat menggembirakan apabila penulis mendapati terdapat sebuah bilik yang dijadikan musolla yang telah disediakan di lapangan terbang tersebut. Walaupun tidak terdapat paip dan kemudahan untuk berwuduk dalam bilik musolla tersebut, namun dengan keadaan bilik yang bersih dihampari dengan permaidani yang cantik serta ditunjukkan pula arah kiblat, sekaligus menunjukkan bahawa orang Islam tidak terlalu dipinggirkan di bumi yang majoritinya beragama Kristian itu.

Seterusnya, perjalanan diteruskan dengan menaiki keretapi dari lapangan terbang ke 'Termini' iaitu terminal perhentian pengangkutan awam di pusat bandar Rome. Sebaik sahaja sampai di Termini, perut pun berasa lapar. Memang makanan dijual di sana sini terutamanya pizza yang sinonim dengan Italy, namun kebimbangan terhadap status halal haram makanan tersebut membuatkan perut masih belum berisi. Justeru, dicari penyelesaiannya dengan mencari masjid yang terdapat di kota Rome agar dapat diambil maklumat tentang restoran makanan halal. Lalu, kami menaiki teksi dengan memberitahu untuk pergi ke mana-mana masjid yang terdapat di Rome. Pemandu teksi yang tidak pandai berbahasa Inggeris menyebabkan kami terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk memberitahunya tentang destinasi yang hendak dituju.

Pemandu teksi faham dengan maksud kami lalu membawa kami terus ke sebuah masjid yang terletak lebih kurang 15 km dari Termini. Apabila sampai sahaja di situ, kami terpegun dengan tersergamnya keindahan masjid yang agak besar di situ. Walaupun Rome terkenal dengan Vatican City yang terdapat gereja Katholik yang terbesar, namun penulis berasa lega apabila melihat masjid yang begitu besar dapat bertapak di kota Rome.

Masjid tersebut yang dikenali sebagai 'Markaz al-Thaqafah al-Islamiah' atau dalam bahasa Inggerisnya Islamic Cultural Centre merupakan satu-satunya masjid di Rome yang juga dianggap sebagai salah satu bangunan besar yang terdapat di kota Rome. Di samping ia sebagai sebuah masjid, ia juga dilengkapi dengan sebuah perpustakaan dan dewan syarahan. Pembinaan kompleks masjid ini telah menelan belanja berjuta-juta dolar dan ia mendapat sumbangan yang besar daripada King Fahd.

Kompleks masjid ini telah direka bentuk dengan kemudahan tempat wuduk dan dewan solat yang boleh menampung seramai 2500 orang. Tambahan daripada itu, terdapat juga dewan solat yang kecil yang boleh memuatkan seramai 150 orang. Terdapat juga ruang pendidikan yang mengandungi perpustakaan dan kelas-kelas untuk pengajian. Dewan syarahan yang terdapat di sini boleh memuatkan sejumlah 400 orang. Terdapat juga ruang untuk pameran dan dua tempat penginapan, satu untuk imam dan satu lagi untuk pengunjung.

Cahaya Islam telah sampai ke Itali agak awal iaitu pada kurun kelapan Masihi sekitar tahun 728 M. Namun, apabila golongan Katholik yang fanatik menguasai Italy, maka mereka telah mengusir orang Arab yang beragama Islam sekitar tahun 1061 M. Namun setelah berlakunya Perang Dunia Kedua, Eropah mengalami kerosakan yang teruk termasuk Italy. Ini membuatkan mereka membuka ruang kepada orang luar untuk datang ke Italy. Natijahnya, terdapat ramai orang Islam dari Pakistan, Turki, Afrika Utara yang berhijrah ke Italy untuk mencari pekerjaan. Ini mewujudkan komuniti umat Islam berkembang di Rome dan di Italy.

Pada masa kini, terdapat seramai lebih kurang 650 ribu orang Islam di Italy, dan 85 ribu daripadanya tinggal di kota Rome. Namun terdapat sumber yang menyatakan bahawa bilangan umat Islam di Italy sudah mencecah satu juta orang sekiranya termasuk mereka yang tidak didaftarkan. Ini membawa kepada agama Islam menjadi agama kedua teramai pengikutnya di Itali iaitu selepas agama Kristian. Manakala golongan Yahudi, dianggarkan seramai 35 ribu orang sahaja yang tinggal di Italy dan 15 ribu daripadanya berada di Rome (Rujuk buku Mengapa Kami Memeluk Islam oleh Dr Nawi Jusoh, halaman 4).

Apabila sampai sahaja di masjid tersebut, waktu Asar sudah berlalu menyebabkan hanya terdapat pengawal sahaja yang berada di persekitaran masjid kerana bermungkinan yang lain sudah kembali ke rumah masing-masing atau meneruskan kerja selepas menunaikan solat di masjid. Tanpa berlengah, kami terus bertanya pengawal yang berada di masjid itu tentang tempat untuk mendapatkan makanan yang halal. Pengawal memberikan beberapa nama kedai milik orang Mesir dan orang India muslim yang terdapat di Rome. Beliau juga menyatakan bahawa pada hari Jumaat terdapat pelbagai makanan dan barang keperluan yang dijual berhampiran dengan masjid.

Justeru, kami pun berpatah balik ke tempat yang disebutkan oleh pengawal tadi dengan menaiki bas. Apabila berjumpa sahaja dengan kedai makanan halal, barulah hati berasa lega. Jadi kami terus memesan 'kabab' yang dijual oleh peniaga Mesir. Namun untuk mempastikannya, kami bertanya sekali lagi kepada penjual tersebut, adakah makanan itu halal?. Beliau dengan tersenyum menjawab bahawa makanan tersebut sememangnya halal dan ia diimport dari Turki.

Keesokannya pada hari Jumaat, kami terus ke Masjid Besar di kota Rome itu. Apabila sampai sahaja di hadapan masjid, hati berasa amat seronok melihat ramainya umat Islam yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat di samping bertemu dan bertanya khabar. Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai makanan Arab yang dijual di situ yang kesemuanya halal . Ada orang yang menjual 'syawarma', 'falafil', dan makanan Arab yang lain. Ketika penulis dan dua orang rakan sedang menikmati syawarma, datang seorang lelaki Tunisia dan terus membayar harga makanan yang kami makan tanpa banyak bicara. Lalu beliau menyatakan bahawa beliau amat gembira melihat kedatangan kami serta kewujudan umat Islam di Rome kerana dia sendiri telah mendapat cahaya Islam di bumi Rome ini. Itulah semangat ukhuwwah sesama Islam yang ditonjolkan. Walaupun belum mengenali kami, namun beliau telah menganggap kami sebagai saudaranya. Inilah cantiknya ajaran Islam.

Bersambung........

1 comment: