Followers

Wednesday, April 30, 2008

Rukun Qalbi Dalam Solat


Oleh: Ustaz Shauqi

Rukun di dalam solat boleh dibahagikan kepada 3 iaitu:

1. Rukun Qalbi (pekerjaan hati)
Qalbi bermaksud hati. Jadi, rukun qalbi dalam solat ialah rukun yang memerlukan kehadiran hati dalam melaksanakannya. Contohnya ialah Niat di dalam mengerjakan solat merupakan termasuk dalam kategori rukun qalbi ini.

2. Rukun Qauli (pekerjaan lidah)
Qauli bermaksud perkataan. Rukun qauli ialah rukun solat yang memerlukan agar dilafazkan perkataan dengan menggerakkan lidah dan bibir. Contoh rukun qauli ialah Takbiratul ihram, membaca al-Fatihah, membaca tahiyat akhir, membaca selawat ke atas nabi dalam tahiyat akhir, dan memberi salam.

3. Rukun Fi'eli (pekerjaan anggota)
Fi’eli bermaksud perbuatan. Rukun fi’eli ialah rukun solat yang melibatkan perbuatan dan pergerakan anggota tubuh badan yang wajib dilaksanakan di dalam solat. Contohnya ialah berdiri betul bagi yang berkuasa, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan duduk tahiyat akhir

Niat Di dalam Solat

Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

إِنَّمّا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّات...

Maksudnya: “Sesungguhnya sesuatu amalan itu mesti berasaskan kepada niat…”

Dalam hadis nabi di atas dinyatakan bahawa setiap amalan itu mestilah berasaskan niat. Justeru, menjadi suatu kefardhuan kepada mereka yang menunaikan solat menghadirkan niat di dalam hatinya ketika bertakbiratul ihram. Solat tidak sah tanpa niat kerana niat merupakan salah satu rukun di dalam solat.

Rukun niat dalam solat fardhu ada tiga perkara, dan ia telah dihimpunkan dalam satu rangkap puisi:

يا سائلي عن فروض النية القصد والتعيين والفرضية

Maksudnya: ‘Wahai orang yang bertanya tentang fardhu niat, (jawapannya ialah) al-Qasd, al-Ta’yiin, dan al-fardhiah.

Contohnya seperti niat dalam solat Isyak: أصلي فرض العشاء ‘Sahaja aku solat fardhu Isyak’. Perkataan أصلي itu ialah al-Qasd, العشاء ialah Taa’yin, dan فرض ialah al-Fardhiah. Manakala dalam solat sunat pula, rukun niat ialah al-Qasd dan al-Taa’yin sahaja.

Beberapa Persoalan Niat Dalam Solat

Persoalan 1: Bagi seorang imam dalam solat berjamaah, sunat baginya untuk berniat sebagai imam, manakala bagi makmum pula, wajib baginya berniat sebagai makmum. Sekiranya imam tidak berniat menjadi imam, solatnya tetap sah tetapi dikira pahala solat secara bersendirian, dan solat makmum di belakangnya tetap sah. Manakala bagi makmum pula sekiranya dia tidak berniat sebagai makmum sedangkan dia mengikut imam, maka solatnya tidak sah.

Persoalan 2: Melafazkan niat adalah sunat, dan ia bukanlah perkara bid’ah. Akan tetapi, janganlah lafaz niat tersebut membuatkan seseorang itu menjadi was-was, seperti yang berlaku pada sesetengah orang yang melafazkan ‘usalli’ berbelas-belas kali. Sekiranya berlaku sedemikian iaitu was-was ketika melafazkan niat, maka tidak perlulah seseorang itu melafazkannya, kerana yang wajibnya ialah menghadirkan niat di dalam hati.

Persoalan 3: Sekiranya seseorang itu berasa ragu-ragu dalam solat iaitu sama ada untuk meneruskan solat atau membatalkannya, maka solatnya itu adalah batal. Begitu juga batal solat apabila seseorang itu membatalkan niat ketika sedang bersolat. Niat perlukan kepada jazm iaitu kepastian. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai jazm ketika bersolat, ia menyebabkan solat itu batal. Contohnya ialah seseorang ketika dalam solat berniat sekiranya telefon berdering, aku akan menjawab panggilan telefon dan membatalkan solat. Maka solatnya menjadi batal walaupun telefon belum pun berdering.

1 comment:

  1. Assalamualaikum wrh.wrb'

    Ustaz, di dalam sembahyang ada yang meletakan tangan di atas dada, diatas pusat yang mana satu yag lebih sempurna?

    ReplyDelete