Followers

Thursday, February 19, 2009

Amalkan Ma'thurat Setiap Hari


Al-Ma’thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Ia dikumpul dan disusun oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Wirid, doa, zikir dan istighfar di dalam Al-Ma’thurat jika dibaca secara konsisten dan istiqamah akan memantapkan jiwa dan dapat mendidik hati agar sentiasa merindui Allah SWT di samping akan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani. Orang yang mengamalkan zikir Al-Ma’thurat akan merasakan perbezaan dari hari-hari yang tidak dimulakan dengannya. Begitulah antara kekuatan doa dan wirid di dalam Al-Ma’thurat.

Bagi seorang mukmin masanya tidak boleh berlalu begitu sahaja. Di waktu pagi dan petang ia hendaklah sentiasa bertasbih, beristighfar, bertahmid dan berdoa kepada Allah SWT dengan zikir yang ma’thur (yang berasal dari Nabi SAW)

Firman Allah SWT di dalam Surah Qaaf ayat 39 , Bermaksud : ‘ Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhan mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya ’

KELEBIHAN BACAAN AL-MA’THURAT

Antara kelebihan membaca Al-Ma’thurat ialah :

1. Ia dimulai dengan ucapan ‘Aku bermohon perlindungan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam’.

2. Bacaan Al-Fatihah di dalam Al-Ma’thurat merupakan bacaan yang agung. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Demi Allah yang nyawaku di tangan Nya, belum ada surah yang diturunkan di dalam Taurat, Injil, Zabur atau Furqan yang menandinginya. Dialah ‘Al-Sab’ul Mathani dan Quran yang agung yang diturunkan kepadaku".


3. Membaca surah al-Baqarah dalam zikir Ma’thurat juga memperolehi pahala yang besar. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Sesiapa membaca sepuluh ayat dari Surah al-Baqarah di awal siang nescaya ia tidak akan didekati syaitan sehingga petang, jika dibaca di waktu malam pula nescaya syaitan tidak akan mendekatinya sehingga ke pagi. Tidak akan dilihatnya apa-apa yang buruk menimpa keluarganya atau hartanya ".


4. Membaca ayat Kursi juga akan menghindarkan diri dari gangguan syaitan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesiapa membaca sepuluh ayat dari ayat-ayat surah al-Baqarah, ayat Kursi, dua ayat selepasnya dan hujung surah al-Baqarah nescaya syaitan tidak akan masuk ke dalam rumahnya sehinggalah ke pagi".

5. Di samping itu, doa-doa yang dimuatkan dalam al-Ma'thurat itu merupakan doa daripada nabi saw yang sewajarnya kita turut amalkan dalam kehidupan kita pada hari ini.

1 comment: