Followers

Monday, June 15, 2009

Asal Usul Tulisan Arab


Oleh: Mohd Sukki Othman

Terdapat pelbagai pendapat mengenai asal-usul dan perkembangan tulisan Arab. Antara pendapat tersebut ialah:

1. Pendapat Pertama: Kemunculan tulisan Arab adalah 'Tawqifi', iaitu ia datang terus daripada Allah. Justeru, ada yang menyatakan bahawa Nabi Adam a.s merupakan pelopor kepada tulisan secara keseluruhannya. Baginda mempelajari tulisan daripada Allah, lantas dapat menulisnya dalam pelbagai tulisan. Ada pula riwayat yang menamakan Nabi Idris atau Nabi Nuh sebagai pelopor kepada tulisan. Menurut Dr Ahmad Fuad ‘Alyan (2000), pandangan yang paling sahih dalam perkara ini ialah Nabi Idris a.s. Kenyataan Ini adalah bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghiffari bahawa Nabi saw bersabda:
أول من خط بالقلم إدريس – رواه أحمد
Maksudnya: ‘Orang pertama menggaris / menulis dengan pena ialah Idris a.s’

Dikatakan bahawa Nabi Ismail merupakan orang pertama yang menulis dalam bahasa Arab di samping bertutur dengan bahasa tersebut. Menurut Ibnu Khallikan, orang pertama yang menulis dengan bahasa Arab ialah Nabi Ismail a.s. Dikatakan juga bahawa Nabi Ismail telah belajar menulis dan bertutur bahasa Arab daripada kabilah Jurhum yang mendiami Makkah selepas terpancarnya mata air zam zam. Nabi Ismail dan ibunya Hajar yang tinggal bersama kabilah tersebut, telah mempelajari pertuturan dan penulisan daripada mereka.

Ibnu Salam dalam kitab (Tabaqat Syu’ara’) menyatakan bahawa ‘Orang pertama bertutur dalam bahasa Arab dan melupai lisan bapanya ialah Ismail a.s.’. Pandangan ini diperkuatkan pula oleh hadis nabi saw:

ألهم إسماعيل هذا اللسان العربي إلهاما – أخرجه الحاكم والبيهقي عن جابر
Maksudnya: ‘Diilhamkan bahasa Arab kepada Ismail a.s.’

Dikatakan bahawa orang Quraish pertama yang menulis dalam tulisan Arab ialah 'Harb Bin Umayyah Bin Abd Shams', yang mana beliau telah memperoleh tulisan ini dari seorang lelaki di Hirah yang bernama 'Aslam Bin Sudrah'. Lelaki ini pula memperoleh tulisan ini daripada seorang lelaki Anbar.


2. Pendapat Kedua: Tulisan Arab berasal daripada tulisan Himyar yang dikenali sebagai (al-Musnad). Ia juga dikenali sebagai 'Tulisan Arab Selatan' atau 'Tulisan Himyar'. Tulisan ini ibarat huruf yang bersambung. Tulisan ini berkembang melalui perdagangan sehingga ke Hijaz.

3. Pendapat Ketiga: Tulisan Arab berkembang daripada tulisan al-Nabatiy (Nabatean) yang dipunyai oleh golongan al-Anbat yang mendiami kawasan peninggalan sejarah yang dikenali pada hari ini sebagai Petra di Jordan. Mereka mendiami di kawasan itu sejak kurun kedua sebelum Masihi. Pada awal kurun ke 18 Masihi iaitu pada tahun 1724 M, G.J Klehr mendakwa bahawa terdapat hubungan yang kuat di antara tulisan Arab dan tulisan al-Nabatiy. Kemudian, pandangan ini diperkuatkan oleh Th. Noldeke pada tahun 1865 M, yang juga menyatakan bahawa tulisan Arab berkembang daripada tulisan al-Nabatiy.

Para pengkaji yang mengkaji bentuk-bentuk huruf serta tulisan Arab yang diukir di atas batu sejak zaman sebelum Islam, mendapati bahawa tulisan Arab kuno diderivasikan daripada tulisan al-Nabatiy. Tulisan al-Nabatiy pula telah diderivasikan daripada dialek al-Aramiy (Aramaic). Asal usul Aramaic pula ialah daripada Phoenician.

Tulisan Arab telah digunakan sejak kurun ke 4 Masihi. Teks pertama yang diketahui menggunakan abjad Arab ialah inskripsi yang dijumpai pada penghujung kurun ke 4 Masihi di Jabal Ram (50 km ke timur Aqaba, Jordan). Namun dokumen terawal dalam tiga bahasa yang dijumpai ialah inskripsi Arab, Syriac dan Greek yang dijumpai di Zabad, Syria pada tahun 512 Masihi.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Ustaz.
    Boleh saya tau, sumber rujukan/ nama buku terhadap pendapat2 mengenai asal usul penulisan Arab ni?

    ReplyDelete