Followers

Wednesday, April 7, 2010

Cerpen : Ukhuwwah di Rome - Bahagian 1


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Berapa harga syawarma ini? Tanya Syafiq kepada penjual Syawarma di hadapan masjid besar di Rome, Italy itu sambil dia memerhatikan para peniaga muslim yang berbilang bangsa di sepanjang jalan di hadapan masjid. Masjid besar Rome itu dikenali sebagai 'Markaz al-Thaqafah al-Islamiah' atau dalam bahasa Inggerisnya Islamic Cultural Centre.

Masjid tersebut merupakan satu-satunya masjid di Rome yang juga dianggap sebagai salah satu bangunan besar yang terdapat di kota Rome. Bangunan besar itu bukan sahaja dijadikan sebagai masjid, namun di situ juga ditempatkan dewan seminar, perpustakaan, dan sebagainya. Kompleks masjid ini telah direka bentuk dengan kemudahan tempat wuduk dan dewan solat yang boleh menampung seramai 2500 orang. Terdapat juga ruang pendidikan yang mengandungi perpustakaan dan kelas-kelas untuk pengajian. Dewan syarahan yang terdapat di sini boleh memuatkan sejumlah 400 orang. Terdapat juga ruang untuk pameran dan dua tempat penginapan, satu untuk imam dan satu lagi untuk pengunjung.

Kelihatan ramai sekali orang Islam yang berniaga pada hari Jumaat itu. Ada yang menjual barangan makanan seperti ‘syawarma’, ‘falafil’ dan pelbagai barangan halal yang lain, dan ada pula yang menjual barangan keperluan seharian.

Penjual syawarma itu kelihatan riang gembira pada pagi Jumaat itu kerana begitu ramai pelanggan yang membeli syawarmanya. Keringat membasahi bajunya, dan kelihatan letih yang amat sangat pada wajah yang sedang memotong daging ayam syawarma yang disalai dan dibakar di hadapan bara api yang sentiasa panas. Walau panasnya api yang membakar syawarma itu agak merimaskan, namun sesekali angin sejuk di musim luruh di Italy yang bertiup sepoi-sepoi bahasa agak menyenangkan dan memberikan kesegaran.

Walaupun letih melayan pelanggan, namun bibir penjual syawarma itu tetap menguntum senyum tanda puas dan gembira dengan hasil jualannya. Penjual Syawarma yang berbangsa Arab itu tidak reti berbahasa selain Bahasa Arab, namun begitu hasil jualannya tetap laris. Nasib baiklah Syafiq boleh berbahasa Arab sedikit-sedikit, jadi senanglah sikit untuk berkomunikasi dengan penjual syawarma itu… sekurang-kurangnya beliau mudah memesan makanan yang hendak dibeli.
Bersambung.....

No comments:

Post a Comment