Followers

Wednesday, April 14, 2010

Cerpen: Ukhuwwah di Rome - Bahagian 4


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Syafiq tersentak apabila tiba-tiba bahunya dipegang oleh Ustaz Hasan. Anta beli apa Syafiq…. beli syawarma? Soal Ustaz Hasan. Sapaan Ustaz Hasan itu mengejutkan Syafiq dari lamunan. “Ye, ustaz… saya beli syawarma”, jawab Syafiq dan ditangannya tergenggam erat syawarma ayam yang baunya sahaja boleh membuka selera sesiapa jua yang berminat dengan makanan arab. Syafiq baru teringat yang dia masih belum membayar harga syawarma tersebut. Lantas, Syafiq bertanya sekali lagi kepada penjual syawarma sambil memegang wang kertas 5 euro ditangannya, lau samahta, kam si’r haaza syawarma? (minta maaf , berapa harga syawarma ini).

Penjual syawarma tersebut tersenyum sambil berkata, “balash.. zaalikar rojul qad dafa’ (tak perlu… lelaki itu telah bayar) sambil menunjukkan ke arah seorang lelaki berbangsa Arab. Lelaki Arab tersebut yang berbadan sasa dan tegap, berambut kerinting, bermata bulat memandang ke arah Syafiq dengan senyuman.

Syafiq lantas mengucapkan terima kasih kepada lelaki Arab tersebut… “syukran ya akhi”(terima kasih wahai saudaraku). Lelaki Arab itu pun menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Syafiq dan Ustaz Hasan yang berada di sebelah Syafiq, lalu memperkenalkan dirinya sebagai Fathi yang berasal dari Tunisia tetapi sudah menetap di Rome sejak 10 tahun yang lalu.

Min aina anta?” (awak dari mana) soal Fathi kepada Syafiq. “Min Malizia”(dari Malaysia), jawab Syafiq ringkas. Sambil itu, Fathi menghulurkan kepada Syafiq segenggam anggur ‘banati’ yang berwarna hijau, tanpa biji sambil mempelawanya makan. Syafiq mengucapkan terima kasih…namun di dalam hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki Arab itu yang tidak dikenalinya sebelum ini, tetapi bersikap begitu baik sekali.

Kesempatan yang ada itu diambil oleh Syafiq untuk berta’aruf dengan Fathi, untuk lebih mengenali lelaki yang berhati mulia ini. Fathi pun menceritakan betapa dia mengenali Islam di bumi Rome melalui ikatan ukhuwwah yang terjalin di antara sesama umat Islam di situ. Ketika di Tunisia, dia tidak mengenal erti solat dan tidak mengenal sejadah. Hidupnya adalah untuk makan dan berseronok sahaja. Namun, apabila dia berhijrah ke Rome untuk mencari pekerjaan demi hidup yang lebih sempurna, baharulah beliau sedar erti persaudaraan dan nikmat Islam. Atas dasar persaudaraan Islam juga, ramai sahabat dan rakan di Rome yang sanggup bersusah-payah demi saudaranya.

“Hubungan ukhuwwah sesama umat Islam amat kuat dan kukuh di sini kerana masing-masing memerlukan di antara satu sama lain. Apatah lagi apabila kami berhadapan dengan sesetengah orang Eropah yang agak sombong dan mementingkan diri sendiri. Di sinilah baharu dapat dilihat bagaimana semangat persaudaraan yang diajar di dalam Islam merupakan sesuatu yang amat manis lagi bermakna”, jelas Fathi kepada Syafiq.

Syafiq mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan Fathi itu. Syafiq teringat mafhum ayat al-Quran yang sering dibacakan oleh khatib di masjid Bandar Baru Bangi, tempat yang sering Syafiq tunaikan solat Jumaat... “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara”.

Cerita Fathi itu juga telah mengingatkan Syafiq tentang ceramah agama yang telah disampaikan oleh Ustaz Roslan di Surau al-Muhajirin seminggu sebelum Syafiq ke Makkah mengenai ukhuwwah sesama muslim dalam peperanganYarmouk. Ustaz Roslan menceritakan bagaimana kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam yang dapat digambarkan melalui kata-kata yang telah diungkapkan oleh Huzaifah :

Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As . Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam , dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid “ .


Bersambung.....

No comments:

Post a Comment