Followers

Thursday, April 15, 2010

Cerpen: Ukhuwwah di Rome - Bahagian Akhir


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Fathi menerangkan kepada Syafiq dengan suaranya yang jelas dan dengan menyebut perkataan bahasa arab dengan lambat dan satu-persatu agar Syafiq dapat menangkap apa yang diucapkannya: “La a’rifu nural Islam fi Tunis, wainnama a’rifu nuural Islam fi Roma”. A’rifu Islam min khilal al-ukhuwwah al-islamiyyah huna”. (Aku tidak mengenali cahaya Islam di Tunisia, akan tetapi aku mengenali cahaya Islam di bumi Rome melalui ikatan ukhuwwah Islamiyyah). Fathi lantas memimpin tangan Syafiq ke arah rakan-rakannya yang lain yang sedang bersembang dan bertanya khabar di antara satu sama lain.

Haaza Yazid min Jazaa’ir, wa haaza Muhammad min Urdun, wa haaza Umar min Maghrib”(Ini Yazid dari Algeria, dan ini Muhammad dari Jordan, dan ini pula Umar dari Morocco), Fathi memperkenalkan rakan-rakannya itu yang berasal dari pelbagai negara tetapi sudah menetap di Rome dan mendapat kerakyatan Italy kepada Syafiq dan Ustaz Hasan. Syafiq merasakan kegembiraan di wajah rakan-rakan Fathi itu ketika mereka saling berkenalan. Walau Syafiq hanya berkenalan dengan mereka pada pagi itu sahaja, namun Syafiq merasakan keakraban yang amat sangat seolah sudah kenal lama dengan mereka. Mereka begitu ramah dan mesra mengalu-alukan ziarah Syafiq ke Rome.

Seketika, azan berkumandang. Syafiq bersama rakan-rakan barunya itu bersegera menyahut seruan Jumaat dengan beriringan ke dewan solat di Islamic Cultural Centre itu. Masjid besar itu adalah tempat berseminya ukhuwwah Islamiah. Walaupun tapak asalnya ialah kawasan yang terkenal dengan maksiat dan pelacuran di Rome... Namun, dengan hubungan erat dan kekuatan yang dapat dibina dalam kalangan orang Islam di Rome, maka mereka telah berjaya membeli tanah tersebut, dan masjid yang besar dan tersergam indah yang masyhur dengan nama Islamic Cultural Centre itu pun dapat dibina di tapak tersebut. Hal ini sekaligus telah menjadikan kawasan itu tidak lagi menjadi sarang maksiat.

Selesai sahaja solat… Syafiq, Ustaz Hasan dan Saiful memohon untuk beredar ke tempat penginapan mereka iaitu sebuah hotel tidak ‘berbintang’ yang terletak berhampiran dengan Termini. Mereka menyewa satu bilik kecil yang hanya dapat memuatkan tiga katil. Bilik kecil tersebut hanya mempunyai kipas siling tanpa televisyen dan tanpa peti sejuk. Namun begitu, sewanya ialah 30 Euro seorang (lebih kurang RM135). Kadar sewa mengikut ‘kepala’ bukan mengikut bilik, jadi sewa untuk bilik kecil ini sahaja ialah 90 Euro untuk tiga orang.

Fathi dan rakannya Yazid mempelawa untuk menghantar Syafiq dan teman-teman ke Termini. Sepanjang perjalanan menaiki ‘train’ dari masjid ke Termini, Syafiq merasakan kemesraan antara mereka amat luar biasa… seolahnya mereka sudah berkawan selama 20 tahun. Ukhuwwah Islamiah tidak mengenal keturunan, bangsa dan warna kulit. “Di bumi Rome ini, baru aku benar-benar mengenali erti sebenar ukhuwwah”, bisik hati Syafiq sambil bibirnya menguntum senyum tanda gembira.


Tamat.

No comments:

Post a Comment