Followers

Wednesday, January 26, 2011

Islamophobia Dalam Kalangan Orang Bukan Islam & Orang Islam


Lee Kuan Yew menggesa umat Islam di republik Singapura supaya tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu terkandung di dalam buku Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

Di dalam buku tersebut, Kuan Yew turut menyebut, Singapura boleh mengintegrasi semua kaum dan agama kecuali Islam.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, Singapura memerlukan penduduk Islam yang moden, berkualiti global, dinamik dan memahami Islam sebagai agama yang sesuai sepanjang zaman.

Justeru beliau yang juga Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, orang Melayu dan Islam tidak seharusnya melenting dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu supaya mereka tidak terlalu berpegang kepada ajaran Islam.

''Pandangan yang terus terang dari Kuan Yew ini harus dilihat dari sudut positif terhadap keperluan kepada komuniti Melayu dan Islam yang progresif dan dinamik dalam masyarakat kosmopolitan dan kompetitif negara maju Singapura,"

Zainuddin mengulas kenyataan Kuan Yew menerusi buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang menggesa umat Islam di republik itu supaya tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi.

Zainuddin menambah, kenyataan Kuan Yew itu merupakan permintaan beliau kepada orang Melayu Singapura supaya tidak menerima ajaran Islam secara membuta tuli.

Katanya lagi, sikap itu seperti ditegaskan Kuan Yew timbul selepas berlakunya kebangkitan Islam yang juga telah mempengaruhi sikap parti politik Islam dan sesetengah pelajar Islam di Malaysia.

Sehinggakan pada satu masa tambah beliau, keadaan itu menyukarkan mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat lain dan sesama Islam.

''Antaranya seperti tidak boleh berjabat tangan antara lelaki dan perempuan, doktor wanita tidak boleh memegang pesakit lelaki dan sebagainya.

''Malah, pada suatu masa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga menolak hiburan," kata beliau.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

Ulasan:
Lee Kuan Yew memang terkenal sebagai seorang yang mempunyai pandangan negatif terhadap ajaran Islam. Sikap 'Islamophobia' yang ada pada beliau telah menutup mata dan pemikirannya untuk melihat kesucian ajaran Islam. Malahan beliau hanya melemparkan tuduhan bukan berasaskan fakta dan kajian, sebaliknya berasaskan emosi dan salah faham yang menebal terhadap ajaran Islam. Sebab itu tidak hairanlah apabila beliau menyarankan agar umat Islam tidak terlalu berpegang kepada ajaran Islam. Maka beliau mahu orang Islam menggadaikan prinsip agama demi memenuhi tuntutan sosial semasa yang dipenuhi dengan keruntuhan moral, dan kerosakan nilai insani pada manusia.

Islamophobia yang ada pada Lee Kuan Yew adalah berikutan kegagalan beliau memahami ajaran Islam, apatah lagi beliau bukan seorang Islam. Tapi yang lebih malang lagi apabila wujudnya orang Islam yang turut menyokong kenyataan Lee Kuan Yew itu.

Nampaknya Islamophobia juga turut melanda orang Islam seumpama Zainuddin Maidin yang jelas sekali mempertikaikan ajaran Islam dari sudut 'berjabat tangan antara lelaki dan wanita'. Bukan itu sahaja, beliau juga mempertikaikan tindakan UKM menolak hiburan. UKM sebagai sebuah institusi pendidikan sudah pasti boleh menilai hiburan bagaimanakah yang perlu ditolak... iaitu hiburan yang berteraskan budaya hedonisme yang merosakkan pemikiran dan akhlak para pelajar dan para remaja. Mungkin beliau mahu umat Islam ni 'serba boleh', barulah dikatakan mengamalkan Islam secara progresif dan maju, iaitu masjid pun pergi, 'kelab malam' pun boleh pergi . Sedar atau tidak, betapa ajaran Islam melarang budaya hedonisme kerana ia memudaratkan dan meruntuhkan kehidupan masyarakat.

Kes-kes zina , keruntuhan akhlak yang semakin parah sekarang ini antara lainnya berpunca dari budaya hiburan yang tidak berkesudahan. Bahkan bukan itu sahaja, tapi pusat-pusat hiburanlah menjadi punca utama berleluasanya kegiatan pengedaran dadah dan arak yang seterusnya sudah pasti menghancurkan umat.

No comments:

Post a Comment