Followers

Monday, January 24, 2011

Isu Salam / Berjabat Tangan


Isu hangat yang sering diperkatakan sekarang ialah kenyataan Presiden MCA Chua Soi Lek tentang salam atau berjabat tangan wanita Islam dengan lelaki bukan Islam. Beliau memperlekehkan wanita Islam yang tidak mahu bersalam / berjabat tangan dengan lelaki bukan Islam. Mengapakah perkara seumpama ini menjadi isu? Setelah 53 tahun merdeka, ajaran Islam masih belum difahami dengan baik oleh orang bukan Islam. Malahan bukan sekadar tak faham, sebaliknya memperlekehkan pula sesuatu yang ada dalam ajaran Islam. Mengapa hal seumpama ini boleh terjadi?

Persoalan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram:

Allah swt telah berfirman dalam surah al-Nur ayat 30-31 bermaksud: ”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat (merendahkan) pandangan mereka (daripada memandang wanita yang bukan mahram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat (merendahkan) pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka.....”.

Dalam ayat ini, Allah swt memerintahkan agar orang lelaki dan perempuan agar menjaga dan merendahkan pandangan mereka daripada melihat sesuatu yang diharamkan seperti melihat orang yang bukan mahram sehinggakan boleh menimbulkan syahwat. Oleh itu, ajaran Islam mengharamkan seseorang lelaki melihat kepada wanita yang bukan isterinya atau wanita yang bukan mahramnya.

Hal ini tidak pula bermaksud kita dikehendaki memejamkan mata ketika bertemu dengan orang yang bukan mahram, tetapi apa yang dimaksudkan ialah kita dilarang melihat berulang-kali terhadap seseorang yang bukan mahram kerana ia boleh menimbulkan syahwat dan fitnah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad, nabi saw telah bersabda kepada Saidina Ali yang bermaksud: ”Wahai Ali, janganlah kamu mengikuti pandangan yang pertama (terhadap wanita yang bukan mahram) dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya pandangan pertama itu bagi kamu (diharuskan), tetapi kamu dilarang daripada pandangan yang kedua (iaitu terus memandang kepada wanita yang bukan mahram sehingga boleh menimbulkan syahwat)”.

Sekiranya memandang kepada wanita yang bukan mahram pun dilarang dalam hukum syara’, sudah tentu bersalam dan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram diharamkan. Cubalah kita fikirkan, manakah yang lebih menimbulkan syahwat dan fitnah, memandang dari jauh atau bersalaman dan berjabat tangan yang melibatkan persentuhan kulit dengan kulit?

Selain itu, antara hujah yang dikemukakan oleh para ulama’ yang mengharamkan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ialah nabi saw tidak berjabat tangan dengan wanita ketika melakukan bai’ah sedangkan dalam masa yang sama nabi saw berjabat tangan dengan lelaki ketika bai’ah dilakukan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyatakan bahawa, “Daripada Abdullah bin Amr’ ra, bahawa sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah berjabat tangan dengan wanita dalam bai’ah”.

No comments:

Post a Comment