Followers

Tuesday, July 26, 2011

Tudung Fesyen vs Tudung Aurat


Oleh : Ustaz Shauqi

Persoalan yang perlu difikirkan bersama ialah adakah Islam benar-benar mewajibkan wanita memakai tudung, atau ajaran Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam hal ini? Jawapannya sudah tentu tidak!. Ajaran Islam tidak pernah menyuruh wanita Islam bertudung semata-mata, tetapi dikehendaki menutup aurat. Timbul persoalan lagi, apakah tudung itu bukan menutup aurat?. Ya, sekiranya sekadar memakai tudung sahaja, ia tidak dinamakan menutup aurat mengikut kehendak Islam.

Mungkin kenyataan ini agak kontroversi, tetapi itulah hakikat yang harus diterima, iaitu majority wanita Islam yang bertudung pada hari ini, mereka tidak termasuk dalam golongan yang menutup aurat. Oleh itu, tidak hairanlah mereka ini sering terjebak dalam perkara maksiat, kerana tudung semata-mata tidak membawa apa-apa erti sekiranya seseorang itu tidak menutup aurat!. Masyarakat Islam wajar memahami perbezaan di antara tudung fesyen dan tudung yang menutup aurat. Boleh dikatakan amat ramai sekali wanita Islam pada hari ini memilih untuk memakai tudung fesyen daripada tudung untuk menutup aurat.

Apa tidaknya, kelihatan amat ramai wanita yang memakai tudung, tetapi dalam masa yang sama mengenakan seluar ‘jeans’ yang ketat yang menonjolkan bentuk tubuh yang menggiurkan orang yang memandang mereka. Begitu juga mereka yang bertudung, tetapi juga dibaluti dengan baju ketat yang menonjolkan bentuk buah dada mereka dengan begitu jelas. Tidak kurang pula wanita yang bertudung ini memakai pakaian yang jarang menampakkan tubuh badan mereka. Kalau beginilah tudung yang dipakai, ia hanya boleh dianggap sebagai tudung fesyen, bukannya tudung yang menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam.

Selain mengenakan tudung dan menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan pergelangan tangan bagi perempuan, terdapat syarat tambahan untuk dipatuhi . Syarat-syarat tersebut adalah seperti yang berikut:-

  1. Wajib memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna kulit badan. Sekiranya pakaian yang dipakai itu nipis dan menampakkan warna kulit, maka ia tidak dianggap menutup aurat dan solat tidak sah.
  2. Pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh pemakainya.
Satu lagi, Kadang-kala berlaku kekeliruan terutamanya bagi wanita yang menganggap bahawa solat tidak sah tanpa memakai ’telekung sembahyang’. Oleh itu, apabila seseorang wanita itu terlupa untuk membawa ’telekung sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan solat dengan alasan tidak dapat menutup aurat!. Ini merupakan persepsi yang salah terhadap aurat. Sebenarnya, apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang’!.

Akan tetapi sesuatu yang amat menyedihkan berlaku dalam masyarakat kita ialah apabila sebilangan umat Islam hanya menutup aurat di dalam solatnya sahaja, tetapi apabila selesai menunaikan solat, kewajipan menutup aurat terus dilupakan. Seolahnya seseorang itu hanya mengabdikan diri kepada Allah ketika menunaikan solat sahaja, sebaliknya ketika tidak menunaikan solat, dia terus melakukan penderhakaan kepada Allah. Fenomena ini merupakan sesuatu yang amat malang dan perlu diperbetulkan segera agar solat yang ditunaikan itu dapat membina keperibadian muslim yang unggul yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt.

2 comments:

  1. salam . syukran ust atas input yg bermanfaat ~

    ReplyDelete

  2. arrayah.info
    - Jahat! Kementerian Pelajaran Melarang Memakai Tudung Di Sekolah Menengah

    ReplyDelete