Followers

Saturday, August 28, 2010

Falsafah Iqra'


Bulan Ramadhan menyaksikan ayat 'Iqra' diturunkan kepada baginda Nabi SAW. Ia merupakan wahyu pertama yang diturunkan. Justeru, sudah tentu ia mengandungi hikmah dan pengajaran yang besar. Ia juga menunjukkan betapa Islam merupakan agama ilmu. Oleh yang demikian, setiap individu muslim wajib untuk mempersiapkan diri dengan ilmu agar tidak tersesat dalam kehidupan di atas dunia ini. Tapi kesucian Ramadhan pada tahun ini dicemari dengan pelbagai insiden emosi yang mengetepikan persoalan ilmu dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berbangkit. Setiap orang ingin menjuarai dalam sesuatu 'isu' lalu mengeluarkan pandangan dan pendapat berdasarkan logik semata-mata tanpa merujuk kepada ilmu, apatah lagi apabila sesuatu 'isu' itu berkaitan dengan hukum Islam.

Kadang-kala yang berlaku ialah apabila merujuk kepada hukum-hakam Islam, setiap orang 'bebas' mengeluarkan pendapatnya sendiri walaupun sebenarnya orang itu jahil dalam agama. Pendapat yang diselubungi dengan kejahilan itu pula diwar-warkan secara berleluasa seolah ia adalah sesuatu yang benar.

Akan tetapi sekiranya sesuatu itu melibatkan isu-isu lain seperti isu 'perubatan' contohnya, hanya doktor yang berkelayakan sahaja yang diambil pandangannya dan pandangan-pandangan orang yang tiada ilmu tentang kedoktoran tidak akan dilayan sama sekali. Malangnya, perkara seumpama itu tidak berlaku pada sesuatu isu yang berkaitan dengan hukum hakam Islam. Jadi, apabila isu berkaitan hukum, semua orang boleh 'bercakap', dan akibatnya 'tersasar' begitu jauh daripada kebenaran. Akhirnya ia bukan sekadar sesat, bahkan menyesatkan.

Oleh yang demikian, pastikanlah agar merujuk isu-isu hukum dan agama kepada para ulama' dan kepada mereka yang berkelayakan dalam bidang tersebut agar kita tidak tersesat dalam perlaksanaan sesuatu hukum dan pegangan. Renungilah firman Allah dalam surah al-Anbiya' ayat 7 bermaksud: "Bertanyalah pada orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui".

No comments:

Post a Comment