Followers

Friday, August 20, 2010

Ramadhan Bulan Adat?


Oleh: Ustaz Shauqi

Bagi setiap individu muslim yang prihatin dengan rahmat dan ganjaran Allah yang melimpah-ruah pada bulan Ramadhan ini sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sebanyak mungkin ganjaran daripada Allah dengan melaksanakan ketaatan dan ibadah kepadaNya. Namun, sesuatu yang amat menyedihkan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita ialah sambutan Ramadhan itu lebih menjurus kepada ‘adat’ bukannya ‘ibadat’.

Bulan Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan menahan nafsu syahwat dengan ber’puasa’ bertukar menjadi bulan ‘makan’ yang penuh dengan pembaziran semata-mata untuk memenuhi runtunan nafsu dan syahwat. Pembaziran berlaku dengan begitu ketara semasa berbuka puasa. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila didapati perbelanjaan di bulan Ramadhan telah meningkat berlipat-kali ganda sekiranya dibandingkan dengan perbelanjaan pada bulan-bulan yang lain.

Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana yang diharapkan. Masyarakat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan secara berlebihan.

Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra', ayat 27). Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan juga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir.

Sepatutnya pada bulan Ramadhan, umat Islam bersungguh-sungguh untuk melaksanakan ‘pesta’ ibadah serta beristiqamah dengannya. Namun, apabila sambutan Ramadhan dijadikan sebagai ‘adat’ semata-mata, maka akan didapati mereka yang berduyun-duyun ke masjid pada minggu pertama Ramadhan akan terus berkurangan dari semasa ke semasa. Natijahnya, pada minggu terakhir Ramadhan yang merupakan waktu yang paling penting untuk mendapatkan anugerah lailatul qadr, masjid-masjid dan surau-surau semakin kurang dikunjungi.

Pada minggu terakhir Ramadhan juga, masyarakat Islam dalam negara kita lebih selesa mengunjungi pasaraya, supermarket, bazar dan seumpamanya daripada mengunjungi surau dan masjid. Kelebihan dan keutamaan bulan Ramadhan terus dilupakan serta diabaikan semata-mata kerana ingin membuat persiapan dan persediaan menyambut Syawal iaitu hari raya idulfitri.

Sebenarnya tanggal 1 Syawal merupakan hari untuk menyambut kemenangan bagi umat Islam yang beribadah dan yang berjaya menundukkan nafsu di bulan Ramadhan. Namun, apakah mereka yang menyambut Ramadhan secara ‘adat’ layak untuk menyambut kemenangan pada tanggal 1 Syawal sedangkan nafsu mereka masih lagi membelenggu diri?

Sambutan Idulfitri pula dicemari dengan aspek negatif yang menghakis kemuliaan dan ‘kemenangan’ hari tersebut. Mana tidaknya, selesai sahaja bertakbir dan menunaikan solat hari raya, maka ‘nafsu’ kembali dituruti dengan melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan nilai ibadah pada hari yang penuh dengan keberkatan itu. Pembaziran terus berlaku semasa menyambut idulfitri. Budaya hiburan pula seolah menjadi ‘menu’ utama yang wajib ada semasa perayaan idulfitri. Akibatnya, umat Islam dalam masyarakat kita terus berada dalam kealpaan dan kelalaian. Ramadhan dan Syawal tidak dapat mengubah keperibadian seseorang muslim itu apabila nilai ibadah dalam bulan-bulan ini dipinggirkan.

Justeru, apabila Ramadhan atau ‘bulan puasa’ disambut secara adat bukannya ibadat, maka, ia tidak dapat menghasilkan individu yang bertakwa kepada Allah. Akhirnya sambutan Ramadhan tidak mendatangkan ‘makna’ dan ‘pengertian’ sebenar dalam kehidupan seseorang muslim itu. Sehubungan dengan itu, ‘adat’ tahunan dalam menyambut Ramadhan dan ‘puasa’ tidak lagi memberi sebarang erti untuk kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru, anjakan perlu dibuat untuk mengembalikan nilai ibadah dalam bulan Ramadhan agar dapat memperoleh wangian kasturi di sisi Allah serta kesejahteraan dunia akhirat dapat diperoleh kembali.

2 comments: