Followers

Saturday, August 28, 2010

Falsafah Iqra'


Bulan Ramadhan menyaksikan ayat 'Iqra' diturunkan kepada baginda Nabi SAW. Ia merupakan wahyu pertama yang diturunkan. Justeru, sudah tentu ia mengandungi hikmah dan pengajaran yang besar. Ia juga menunjukkan betapa Islam merupakan agama ilmu. Oleh yang demikian, setiap individu muslim wajib untuk mempersiapkan diri dengan ilmu agar tidak tersesat dalam kehidupan di atas dunia ini. Tapi kesucian Ramadhan pada tahun ini dicemari dengan pelbagai insiden emosi yang mengetepikan persoalan ilmu dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berbangkit. Setiap orang ingin menjuarai dalam sesuatu 'isu' lalu mengeluarkan pandangan dan pendapat berdasarkan logik semata-mata tanpa merujuk kepada ilmu, apatah lagi apabila sesuatu 'isu' itu berkaitan dengan hukum Islam.

Kadang-kala yang berlaku ialah apabila merujuk kepada hukum-hakam Islam, setiap orang 'bebas' mengeluarkan pendapatnya sendiri walaupun sebenarnya orang itu jahil dalam agama. Pendapat yang diselubungi dengan kejahilan itu pula diwar-warkan secara berleluasa seolah ia adalah sesuatu yang benar.

Akan tetapi sekiranya sesuatu itu melibatkan isu-isu lain seperti isu 'perubatan' contohnya, hanya doktor yang berkelayakan sahaja yang diambil pandangannya dan pandangan-pandangan orang yang tiada ilmu tentang kedoktoran tidak akan dilayan sama sekali. Malangnya, perkara seumpama itu tidak berlaku pada sesuatu isu yang berkaitan dengan hukum hakam Islam. Jadi, apabila isu berkaitan hukum, semua orang boleh 'bercakap', dan akibatnya 'tersasar' begitu jauh daripada kebenaran. Akhirnya ia bukan sekadar sesat, bahkan menyesatkan.

Oleh yang demikian, pastikanlah agar merujuk isu-isu hukum dan agama kepada para ulama' dan kepada mereka yang berkelayakan dalam bidang tersebut agar kita tidak tersesat dalam perlaksanaan sesuatu hukum dan pegangan. Renungilah firman Allah dalam surah al-Anbiya' ayat 7 bermaksud: "Bertanyalah pada orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui".

Friday, August 27, 2010

Lailatul Qadr


Suatu persoalan yang amat penting iaitu, mengapakah masih ramai di antara hamba-hamba Allah yang masih memandang ringan kepada lailatul qadr . Mungkin atara sebabnya ialah:

1. Mereka mengidap penyakit lemah iman, mereka kurang jelas tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-Qadr, sebaliknya mereka lebih nampak besar perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

2. Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak sudi untuk melakukan ibadat pada malam-malam sepuluh akhir Ramadhan, kerana nafsu ingin berehat, mahu menonton TV, mahu berbual-bual kosong, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut. Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadr.

3. Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup seratus tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

Kita mesti mengubati penyakit ini agar ia tidak menjadi semakin parah. Antara yang boleh dilakukan ialah:

1. Wajib kita menanam penuh keyakinan bahawa ganjaran pahala amal ibadat pada malam al-Qadr memang amat besar yang mesti kita berlumba-lumba mendapatkannya.

2. Hendaklah kita menanam keazaman untuk jihad melawan kehendak nafsu agar kita dapat patuh kepada seruan al-Quran, panggilan surah al-Qadr, serta kita dapat meneladani ibadat yang pernah dikerjakan oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan.

3. Kita mesti buang penyakit panjang angan-angan, dengan kita sentiasa ingat bahawa kita mungkin akan berjumpa dengan Malaikat Maut pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kita amat perlu kepada persediaan amal ibadat sebanyak yang mungkin, lebih-lebih lagi amal ibadat pada malam al-Qadr untuk bekalan kita selepas mati.

Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah S.W.T yang berupa nikmat Lailatul Qadr dengan penuh kesyukuran dan ikhlas hati, kita menyahut panggilan surah al-Qadr ini dengan azam untuk kita melaksanakan sebanyak-banyak ibadat pada sepuluh malam tersebut dengan kita melakukan solat fardhu berjamaah, solat sunat tarawih dan witir, membanyakkan bacaan al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh.
Marilah juga kita hiasi hidup kita ini dengan memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran . Kita manfaatkan hidup kita dengan membaca, menghafal, mempelajari segala petunjuk yang terkandung di dalamnya, memahaminya serta menghayati dan mengamalkan segala ajaran yang ada di dalamnya. Semoga Allah mencurahkan kepada diri kita, anak-anak kita dan isteri kita keberkatan dan keredhaan sepanjang hayat kita di dunia dan kita mendapat kebahagian di Akhirat nanti.

Friday, August 20, 2010

Ramadhan Bulan Adat?


Oleh: Ustaz Shauqi

Bagi setiap individu muslim yang prihatin dengan rahmat dan ganjaran Allah yang melimpah-ruah pada bulan Ramadhan ini sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sebanyak mungkin ganjaran daripada Allah dengan melaksanakan ketaatan dan ibadah kepadaNya. Namun, sesuatu yang amat menyedihkan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita ialah sambutan Ramadhan itu lebih menjurus kepada ‘adat’ bukannya ‘ibadat’.

Bulan Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan menahan nafsu syahwat dengan ber’puasa’ bertukar menjadi bulan ‘makan’ yang penuh dengan pembaziran semata-mata untuk memenuhi runtunan nafsu dan syahwat. Pembaziran berlaku dengan begitu ketara semasa berbuka puasa. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila didapati perbelanjaan di bulan Ramadhan telah meningkat berlipat-kali ganda sekiranya dibandingkan dengan perbelanjaan pada bulan-bulan yang lain.

Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana yang diharapkan. Masyarakat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan secara berlebihan.

Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra', ayat 27). Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan juga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir.

Sepatutnya pada bulan Ramadhan, umat Islam bersungguh-sungguh untuk melaksanakan ‘pesta’ ibadah serta beristiqamah dengannya. Namun, apabila sambutan Ramadhan dijadikan sebagai ‘adat’ semata-mata, maka akan didapati mereka yang berduyun-duyun ke masjid pada minggu pertama Ramadhan akan terus berkurangan dari semasa ke semasa. Natijahnya, pada minggu terakhir Ramadhan yang merupakan waktu yang paling penting untuk mendapatkan anugerah lailatul qadr, masjid-masjid dan surau-surau semakin kurang dikunjungi.

Pada minggu terakhir Ramadhan juga, masyarakat Islam dalam negara kita lebih selesa mengunjungi pasaraya, supermarket, bazar dan seumpamanya daripada mengunjungi surau dan masjid. Kelebihan dan keutamaan bulan Ramadhan terus dilupakan serta diabaikan semata-mata kerana ingin membuat persiapan dan persediaan menyambut Syawal iaitu hari raya idulfitri.

Sebenarnya tanggal 1 Syawal merupakan hari untuk menyambut kemenangan bagi umat Islam yang beribadah dan yang berjaya menundukkan nafsu di bulan Ramadhan. Namun, apakah mereka yang menyambut Ramadhan secara ‘adat’ layak untuk menyambut kemenangan pada tanggal 1 Syawal sedangkan nafsu mereka masih lagi membelenggu diri?

Sambutan Idulfitri pula dicemari dengan aspek negatif yang menghakis kemuliaan dan ‘kemenangan’ hari tersebut. Mana tidaknya, selesai sahaja bertakbir dan menunaikan solat hari raya, maka ‘nafsu’ kembali dituruti dengan melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan nilai ibadah pada hari yang penuh dengan keberkatan itu. Pembaziran terus berlaku semasa menyambut idulfitri. Budaya hiburan pula seolah menjadi ‘menu’ utama yang wajib ada semasa perayaan idulfitri. Akibatnya, umat Islam dalam masyarakat kita terus berada dalam kealpaan dan kelalaian. Ramadhan dan Syawal tidak dapat mengubah keperibadian seseorang muslim itu apabila nilai ibadah dalam bulan-bulan ini dipinggirkan.

Justeru, apabila Ramadhan atau ‘bulan puasa’ disambut secara adat bukannya ibadat, maka, ia tidak dapat menghasilkan individu yang bertakwa kepada Allah. Akhirnya sambutan Ramadhan tidak mendatangkan ‘makna’ dan ‘pengertian’ sebenar dalam kehidupan seseorang muslim itu. Sehubungan dengan itu, ‘adat’ tahunan dalam menyambut Ramadhan dan ‘puasa’ tidak lagi memberi sebarang erti untuk kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru, anjakan perlu dibuat untuk mengembalikan nilai ibadah dalam bulan Ramadhan agar dapat memperoleh wangian kasturi di sisi Allah serta kesejahteraan dunia akhirat dapat diperoleh kembali.

Saturday, August 14, 2010

Makan Buah-Buahan Dahulu


Oleh: Ustaz Shauqi

Kalau kita meneliti ayat al-Quran ketika membicarakan tentang makanan penghuni syurga, Allah SWT telah menyebut tentang 'buah' dahulu sebelum menyebut tentang 'daging'. Hal ini mungklin ada kaitan dengan kesihatan manusia kerana buah mengandungi kandungan 'gula ringkas' yang diperlukan oleh badan manusia terutama ketika kita nak berbuka puasa dan ia adalah sesuatu yang mudah dihadamkan, serta dapat memberi tenaga awal pada tubuh badan kita. Ia juga dapat menghilangkan rasa lapar. Akan tetapi, kalau kita mula makan daging dulu ketika berbuka puasa contohnya, perut kita memerlukan lebih kurang 3 jam untuk memproses penghadamannya. Mungkin inilah hikmah yang dapat kita petik daripada ayat al-Quran dalam Surah al-Waqi'ah ayat 20-21 yang bermaksud: Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. Oleh itu, pastikan semasa kita berbuka puasa untuk kita makan buah terlebih dahulu seperti 'kurma' , selepas itu, barulah makan nasi beserta lauk-pauk yang lain. Selamat Berpuasa!

Friday, August 13, 2010

Hotel Yang Mendapat Sijil Halal



SENARAI HOTEL & RESORT YANG MENDAPAT SIJIL HALAL[SIJIL MASIH SAH]


1. (Pearl International Hotel)Batu 5, Jalan Klang Lama58000 Kuala Lumpur

2. Ancasa Hotel Kuala Lumpur Jalan Tun Tan Cheng Lock50050 Kuala Lumpur

3. Brisdale International Hotel Sdn BhdNo. 65, Jalan Hj. Hussein Off Jalan Tuanku Abdul Rahman50300 Kuala Lumpur

4. (Cititel Hotel Penang)Sijil Telah Ditarik Balik 66 Penang Road10000 Pulau Pinang

5. Crystal Crown Hotel No 12 Lorong Utara A, Off Jalan Utara46200 Petaling Jaya, Selangor

6. Crystal Crown Hotel No 3 Jalan Jambu MawarOff Jalan KepongJinjang Selatan52000 Kuala Lumpur

7. Cyberview Lodge Sdn Bhd (Resort & Spa)Cyberview Lodge Resort & SpaPersiaran Multimedia Cyberjaya

8. Dynasty Hotel Kuala Lumpur No, 218, Jalan Ipoh,51200 Kuala Lumpur

9. Evergreen Laurel Hotel (Penang)53, Persiaran Gurney,10250 Penang,Malaysia

10. (Citrus Hotel Kl) 51, Jalan Tiong Nam,Melalui Jalan Raja Laut,50350, Kuala Lumpur.

11. Grand Dorsett Labuan Hotel 462, Jalan Merdeka87029 Labuan St

12. Grand Seasons Hotel No 72, Jalan Pahang,53000, Kuala Lumpur.

13. Hotel Armada Petaling Jaya Jalan Sultan46200 Petaling JayaSelangor

14. Hotel Hilton Petaling Jaya2 Jalan Barat46200 Petaling Jaya

15. Hotel Seri Malaysia (Alor Setar) Jalan Stadium, 05100, Alor Star.

16. Hotel Seri Malaysia (Genting Highlands) Genting Highlands Pahang Darul Makmur

17. Hotel Seri Malaysia (Kuantan) Jalan Telok Sisek25000 KuantanPahang

18. Hotel Seri Malaysia (Marang) Kampung Paya21600 Marang Terengganu

19. Hotel Seri Malaysia (Penang) Bandar Bayan Baru,11950. Pulau Pinang

20. Hotel Seri Malaysia (Sungai Petani)Seksyen 21, Jalan Pasar,08000 Sungai Petani, Kedah

21. Hotel Seri Malaysia (Taiping), Jalan Sultan Mansur34000 Taiping,

22. Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang Pantai Bagan LalangS g Pelek SepangSelangor

23. (Pan Pacific Klia) Jalan Cta 4b, Kuala Lumpur International Airport,

24. (Empress Hotel Sepang) Bandar Baru Salak Tinggi43900 Selangor.
25. (Hotel Putra) Jalan Tuanku Abdul Rahman50100 Kuala Lumpur
26. (Legend Hotel Kl)Tkt 33, Putra Place Office Tower100 Jalan Putra50350 Kuala Lumpur
27. Midah Hotel Kuala LumpurNo 8, Jalan Kampung Attap,50460 Kuala Lumpur
28. Ming Court Hotel (Kl) Sdn Bhd (Corus Hotel, Kuala Lumpur)Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur
29. Nilai Hotel Putra Point Phase 2a,Putra Nilai, 71800Nilai Negeri Sembilan
30. (Puteri Park Hotel) Jalan Raja Laut,
31. Pnb Darby Park Executive Suites (Hotel), Kuala Lumpur10 Jalan Binjai50450 Kuala Lumpur
32. Quality Hotel City Centre(Perangsang Hotel & Properties Sdn Bhd)Jalan Raja LautP.O Box 1158650350 Kuala Lumpur
33. Residence Hotel At Universiti Tenaga Nasional
34. (Grand Bluewave Hotel Shah Alam)Persiaran Perbandaran Seksyen 1440000 Shah Alam
35. (Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur) Jalan Putra, 50746 Kuala Lumpur
36. (Hotel Maluri)No 1, Jalan Permaisuri,Taman Maluri55100 Cheras

37. (Golden Beach Hotel & Resort)No 5 Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1Off Jln Tuanku Abdul Rahman50300 Kuala Lumpur
38. The Paramount Hotel,Lorong 9aJalan Kampung Dato96000 SibuSarawak
39. The Plaza Hotel Kuala Lumpur Jalan Raja Laut
40. The Summit Hotel, Subang UsjPersiaran Kewajipan Usj147600, Uep Subang Jaya
41. Tradewinds Hotels & Resorts (Johor)

42. Tradewinds Hotels & Resorts Sdn. Bhd.Hotel Istana73, Jalan Raja Chulan

Wednesday, August 11, 2010

Mengenali Allah Dalam Ibadah


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Sesuatu yang perlu difahami oleh setiap insan yang bergelar muslim bahawa ibadat dan aqidah merupakan suatu perkara yang saling lengkap melengkapi. Dua perkara ini tidak dapat dipisahkan sama sekali. Kalau dipisahkan antara ibadah dan aqidah, maka kehidupan akan pincang. Namun, apa yang berlaku dalam masyarakat Islam kini, ialah ramai daripadanya hanya mementingkan persoalan ibadah semata-mata tanpa menghiraukan langsung mengenai kewajipan beraqidah dan mengenal Allah! Kadang-kala dalam kehidupan seharian, ibu bapa menyuruh anaknya menunaikan solat dan berpuasa, tetapi tidak diberi penekanan yang sewajarnya terhadap ibadah yang dilakukan itu ditujukan kepada siapa dan mengapa. Apakah mereka menunaikan solat dalam keadaan mereka mengenali Allah atau sekadar menunaikannya sebagai satu tanggung jawab semata-mata.

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah apabila didapati dalam masyarakat kita, mereka yang berduyun-duyun dan beramai-ramai pergi ke masjid dan surau pada bulan Ramadhan untuk menunaikan solat secara berjamaah, namun ianya tidak dapat bertahan lama. Saban tahun kita melihat biasanya mereka yang meng'imarah'kam masjid dan surau pada bulan Ramadhan hanya melakukan sedemikian pada minggu pertama dan kedua sahaja. Selepas itu, iaitu pada minggu ketiga dan keempat Ramadhan, didapati jamaah semakin berkurangan, dan apabila berakhirnya bulan Ramadhan, berakhirlah juga kunjungan masyarakat Islam ke masjid! Apakah mereka ini yang tidak beristiqamah dalam ibadah mengenali Allah, dan melakukan ibadah berpaksikan kepada aqidah dan tauhid yang mantap kepada Allah?

Sekiranya ibadah dilakukan berpaksikan kepada aqidah dan tauhid yang mantap, sudah tentu masyarakat Islam dapat beristiqamah dalam melakukan ibadah kerana mereka menyedari tanggung jawab terhadap Allah Maha Pencipta. Sebagaimana kata-kata yang diucapkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam khutbahnya yang bermaksud "Jadilah hamba Allah, bukan hamba Ramadhan!". Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu umat Islam hanya beribadah dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan sahaja seolahnya Allah hanya wujud pada bulan Ramadhan. Jadi bagaimana pula dengan bulan-bulan yang lain, apakah Allah tidak wujud pada bulan-bulan lain selain Ramadhan?!

Jelasnya, hal ini menggambarkan bahawa ibadah yang dilakukan oleh masyarakat Islam dalam negara kita hanyalah bersifat ikut-ikutan bukannya berdasarkan ilmu dan kemantapan tauhid dan aqidah kepada Allah. Ini kerana sekiranya ibadah yang dilakukan berasaskan aqidah yang mantap, nescaya mereka tidak berganjak daripada mengabdikan diri kepada Allah walau apa pun yang terjadi. Inilah yang disebutkan oleh Syeikh Dr Abdul Majid al-Zandani dalam kitabnya 'al-Iman' yang bermaksud: 'Maka sesungguhnya perkara pertama yang wajib bagi setiap manusia ialah mengenali Allah melalui jalan ilmu, di mana Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran, yang bermaksud: 'Maka ketahuilah sesungguhnya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah".

Monday, August 9, 2010

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan


Oleh: Ustaz Shauqi

Ibadah puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri, akan tetapi adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadhan yang diwajibkan ini? Terdapat sebahagian umat Islam yang berasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan hanya semata-mata kerana teringatkan juadah makanan yang beraneka jenis dan rupa. Ada pula yang langsung tidak menghiraukan usaha untuk mencari keberkatan Ramadhan, sebaliknya sibuk membuat persiapan untuk menyambut ketibaan hari raya. Bulan puasa belum lagi menjelma, tetapi persiapan hari raya sudah pun dibuat.

Sekiranya umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadhan dan akan berlumba-lumba untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaik mungkin, serta bulan Ramadhan akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya. Hanya orang yang kenal dengan kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Betapa besarnya fadhilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: "Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan".

Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183. Oleh itu, sewajarnya setiap individu muslim mengambil peluang yang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan untuk mendidik diri kearah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripadaNya. Untuk mempastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan 'cara yang sebenarnya' sebagaimana yang dikendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara 'khusus al-khusus' seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali. Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual di antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat. Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Setiap orang harus bertanya pada diri, mampukah dia melaksanakan puasa dengan cara sedemikian?. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.

Pada suatu hari, Rasulullah menaiki mimbar (untuk berkhutbah), menginjak anak tangga pertama baginda mengucapkan 'amin', begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat para sahabat bertanya, mengapa Rasulullah mengucapkan 'amin'? Lalu baginda menjawab, malaikat Jibril datang dan berkata: Suatu kerugian kepada seseorang yang bila namamu disebut, dia tidak mengucapkan solawat atasmu, lalu aku mengatakan amin. Kemudian malaikat berkata lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai masuk syurga, lalu aku mengucapkan amin. Kemudian katanya lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya, lalu aku mengucapkan amin. Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Dalam kegembiraan menyambut puasa di bulan Ramadhan, kita seharusnya memahami dengan sejelas-jelasnya akan hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna. Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna. Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharapkan seseorang muslim itu agar sentiasa prihatin dan memberikan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.

Demikian juga dari sudut kesihatan, puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Justeru, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: "berpuasalah , nescaya kamu akan sihat". Hadith tersebut telah memberikan satu gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Seluruh pakar perubatan telah bersetuju menyatakan bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain. Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun di dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu di antara satu sama lain. Sesungguhnya kesan lapar di dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan. Seorang pakar dari Barat telah menyatakan bahawa setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit. Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun-racun yang berkumpul di dalamnya. Dr. Hisyam Ibrahim aI-Khatib telah menjelaskan bahawa puasa juga telah memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman.

Pengkajian ini diteruskan lagi apabila didapati punca berlakunya penyakit-penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan. Ini menyebabkan sistem yang bertindak mengawal badan terpaksa bekerja lebih kuat bagi mengimbangi keseluruhan pergerakan badan. Seterusnya penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah amat mudah menyerang dan melemahkan kekuatan badan individu tersebut. Sesungguhnya tiada ubat yang khusus bagi memulihkannya melainkan dengan berpuasa kerana dengannya wujudlah satu sistem yang baru dalam badan yang bertindak mematikan sel-sel lama untuk digantikan dengan sel-sel baru yang lebih baik dan bertenaga.

Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah terutamanya puasa Ramadhan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki. Jika ia diteruskan dengan perlaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Sya'ban seterusnya Isnin dan Khamis nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun. Pakar perubatan Islam iaitu Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz dari Arab Saudi telah melakukan eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki.

Eksperimennya ini membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan untuk menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan sepertimana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang. Daripada sudut kesuburan seorang wanita pula, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan. Jelasnya, puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan penyakit-penyakit seperti kencing manis dan kegendutan. Selain itu dari sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan. Secara tidak langsung, amalan-amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ di dalam badan.

Menurut dua pengkaji Islam dari Syria dalam buku mereka yang berjudul al-Tib fi al-Quran al-Karim menerangkan kepada kita akan faedah berpuasa :


1. Memberi peluang kepada organ-organ dalam badan mengemaskinikan sistem pemprosesan supaya berfungsi semula dengan berkesan.
2. Merehatkan sistem penyahtinjaan daripada berfungsi berterusan.
3. Rasa lapar dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa serta mendatangkan kecergasan badan dan kecerdasan minda.


Maka secara keseluruhannya, puasa dapat mengawal dan mendidik tubuh badan untuk mengambil makanan yang diperlukan sahaja, seterusnya melambatkan proses penuaan, membantu proses perkumuhan, menyingkirkan racun di dalam badan dan menambahkan rasa nikmat makanan setelah berjaya menahan diri daripada makan.

Dr. Yusof al-Qaradhawi pula dalam bukunya 'al-'Ibadah fi al-Islam', telah menggariskan beberapa rahsia yang terdapat dalam amalan berpuasa. Antaranya ialah:

1.Puasa dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu.
2. Menyehatkan jasmani dan badan.
3. Mendidik kearah melakukan kebaikan.
4. Mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk.
5. Dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain.

Setelah mengetahui rahsia dan hikmah puasa Ramadhan, kita hendaklah mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangannya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Antara persiapan yang boleh dilakukan bagi menyambut kedatangan Ramadhan adalah seperti yang berikut:-

1. Mengulangi kembali ilmu yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan pedoman yang baik dan sempurna. Ilmu mengenai puasa termasuklah yang rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan sebagainya.
2. Membuat persiapan dari segi rohani dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah dan bermaafan sesama manusia.
3. Memperbanyakkan doa agar Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari sifat riak, ujub dan daripada segala rupa penyakit hati yang menghilangkan pahala puasa.
4. Menguatkan semangat untuk melaksanakan puasa dengan sempurna agar kita memperoleh ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
5. Memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Rejab dan Sya'aban sebagai suatu latihan dan persediaan menghadapi Ramadhan.

Friday, August 6, 2010

Solat Tarawih


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi )

Beberapa hari lagi, kita akan menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Apabila berada pada bulan Ramadhan, umat Islam hendaklah menumpukan sepenuh perhatian untuk melaksanakan ibadah dan ketaatan dengan sebaik mungkin kepada Allah swt. Namun, apa yang menyedihkan ialah seringkali berlaku perbalahan dan pertelingkahan dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat dalam bulan Ramadhan terutamanya mengenai bilangan rakaat solat sunat Tarawih. Di samping itu, terdapat pula masyarakat Islam yang begitu beria-ia dan berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk mengerjakan solat sunat Tarawih, pada masa yang sama mereka meninggalkan solat fardhu seperti Maghrib dan Subuh. Mengapa perkara begini boleh berlaku, adakah masyarakat kita masih tidak boleh membezakan mana yang lebih utama antara sunat dan fardhu?

Perbalahan dalam perkara-perkara khilaf seperti bilangan rakaat solat tarawih ini telah menyebabkan ada yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Tidakkah mereka terfikir bahawa bermasam muka dan tidak bertegur sapa itu adalah haram, sedangkan puncanya datang daripada persoalan sunat yang menjadi khilaf di antara ulama?. Syeikh Dr. Fadl Hassan 'Abbas telah menyatakan bahawa lebih elok ditutup pintu masjid agar tidak ditunaikan solat sunat tarawih sekiranya perbalahan tentangnya menyebabkan perpecahan berlaku di antara umat Islam! Manakah yang lebih penting, solat sunat atau persaudaraan Islam?

Ada pula masyarakat Islam yang memang seronok melihat perbalahan dan pergeseran berlaku di kalangan jemaah di masjid dan di surau. Lalu mereka sentiasa membawa serta membesar-besarkan isu ini dan mengapi-apikannya. Sedangkan mereka sendiri hanya menunaikan dua rakaat solat tarawih sahaja, lantas terus ke kedai kopi untuk berbual dan membuang masa. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menghindarkan diri daripada perbalahan yang tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah kita menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah yang patut dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Solat Tarawih ialah solat sunat muakkad. Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat Tarawih, dia tidak berdosa, akan tetapi seseorang itu akan mendapat dosa sekiranya mewujudkan perbalahan tentang bilangan rakaatnya sehingga menimbulkan pergeseran di antara umat Islam di masjid. Solat Tarawih bermula sebaik sahaja seorang itu selesai daripada mengerjakan solat fardhu ‘Isya (seeloknya selepas mengerjakan solat sunat Ba‘diyah ‘Isya’ kerana solat tersebut juga adalah sunat muakkad). Waktu untuk menunaikan solat Tarawih berkekalan sehingga terbit fajar. Ia dikerjakan dengan dua-dua rakaat. Jika dikerjakan solat Tarawih itu empat rakaat dengan satu salam, maka tidak sah solatnya, kerana menyalahi yang disyariatkan.

Persoalan mengenai jumlah raka’at solat Tarawih, sebenarnya ia merupakan perkara lama yang telah pun dibincangkan oleh ulama-ulama mu’tabar, tetapi malangnya ia sentiasa diungkit-ungkit dan ditimbulkan kekecohan oleh pihak-pihak yang masih tidak berpuas hati. Bilangan rakaat solat Tarawih adalah perkara yang termasuk di dalam perbezaan pendapat Ulama. Seseorang Muslim tidak boleh bersikap bersikap keras dalam perkara yang ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Mengikut Syeikh Dr. Abdul Malik al-Sa'di, tidak terdapat dalil yang benar-benar pasti tentang bilangan rakaat solat tarawih yang dilakukan oleh Rasulullah saw kerana terdapat pelbagai riwayat tentang bilangan rakaatnya. (Lihat buku al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 119). Oleh itu, semakin banyak Ibadah yang dilakukan pada malam-malam Ramadhan, maka semakin banyaklah pahala yang akan diperolehi.

Dalil-dalil yang jelas menunjukkan bahawasanya solat malam ini termasuklah solat tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu, sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu 'Umar, seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang solat malam, Maka jawab baginda : "Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, jika seseorang kamu bimbangkan masuknya waktu subuh maka dia solatlah satu rakaat sebagai solat witir." (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru apabila dilihat pendapat para ulama yang mu'tabar, akan didapati bahawa bilangan rakaat solat Tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu. Menurut Jumhur ulama' pula iaitu yang terdiri daripada ulama' aliran mazhab Syafie, Hanafi, yang rajih di sisi Imam Ahmad, al-Thauri, Daud dan sebagainya, mereka menyatakan bahawa bilangan solat Tarawih ialah 20 rakaat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya yang bermaksud: “Bahawasanya mereka (sahabat-sahabat) nabi, mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan Ramadhan pada zaman Umar bin al-Khattab dengan 20 rakaat.” (Telah mensahihkannya al-Hafiz al-'Iraqi dan al-Subki).

Di samping itu, terdapat riwayat daripada para ulama' salaf yang menunaikan solat sunat Tarawih lebih daripada 20 rakaat. Terdapat di kalangan mereka yang menunaikan sebanyak 46 rakaat, 41 rakaat, 39 rakaat, 36 rakaat, 34 rakaat dan 24 rakaat. Ada pula yang menunaikan 16 rakaat dan 13 rakaat.

Menurut Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin dalam kitabnya (Fatawa Syeikh Ibn 'Uthaimin - 1/407), beliau berkata: "Dan perkara ini (bilangan rakaat Tarawih) adalah luas. Maka tidak diingkari ke atas siapa yang solat dengan 11 rakaat atau 23 rakaat….".

Jelasnya, bilangan rakaat solat Sunat Tarawih termasuk dalam perkara khilafiah yang tidak sepatutnya diperbalahkan. Sebaliknya setiap umat Islam hendaklah menumpukan perhatian untuk mewujudkan kualiti dalam Ibadah yang dilakukan serta mengikhlaskan diri kepada Allah swt. Rebutlah peluang, bonus dan ganjaran besar yang disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini. Jauhilah pertelingkahan dan pergaduhan dalam perkara-perkara furu' kerana ia hanya akan merugikan umat Islam

Monday, August 2, 2010

Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk

Petang tadi, saya terlibat dalam Forum Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk bersama Tuan Haji Kamaruddin Abdullah & Us Sabri Abd Rani sebagai panelis, serta dipengerusikan oleh Tuan Hj Muhammad Fitri Abdullah. Tajuk forum ialah : Ada Apa Pada Islam. Forum ini anjuran Perkim dengan kerjasama Madrasah Manba'eil 'Ulum. Keadaan kesihatan agak kurang baik dua tiga hari ini, tapi digagahi juga untuk hadir memandangkan para hadirin terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam, jadi skop dakwahnya lebih luas.

Tuan Hj Kamaruddin Abdullah yang merupakan bekas paderi Kristian telah menceritakan bahawa beliau berasa ragu dengan agama Kristian melalui konsep ketuhanan yang dipegang oleh Kristian itu sendiri. Konsep trinity iaitu 1+1+1 = 1 amat membingungkan. Apabila beliau membaca al-Quran, hatinya terus tertarik dengan Islam sebab konsep ketuhanan begitu jelas melalui ayat-ayat dalam Surah al-Ikhlas.

Ustaz Sabri Abd Rani pula menyatakan bahawa Islam itu indah kerana masih wujud orang beriman yang mempraktikkan Islam, di kala ramai yang mengabaikannya. Beliau menekankan bahawa sesuatu yang indah perlu dipersembahkan dengan cara yang indah demi kelangsungan dakwah. Beliau membawakan beberapa cerita, antaranya ialah pemandu teksi di Singapura yang berurusan dengan usahawan Germany selama 20 hari. Tugas pemandu teksi tersebut ialah mengambil dan menghantar pulang usahawan tersebut dari hotel ke tempat perniagaannya. Setiap pagi, pemandu teksi itu menyediakan akhbar 'New Straits Times' secara percuma kepada businessman itu walau tanpa diminta. Ketika hendak pulang ke Germany, usahawan itu mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi yang baik hati itu. Lalu berkata pemandu teksi itu..."berterima kasihlah kepada nabi saya the prophet Muhammad yang mengajar saya untuk berbuat baik". Inilah satu dakwah yang disampaikan oleh pemandu teksi itu. Selang beberapa bulan, usahawan Germany itu menjemput si pemandu teksi dengan menghantar flight ticket kepadanya bagi menyaksikan pengislamannya di Germany. Kata usahawan itu, "aku mula terfikir untuk mengenali Islam dan mengenali Nabi Muhammad setelah bertemu dengan orang yang sebaik kamu".

Us Sabri juga membawakan cerita mengenai seorang bekas guru iaitu Hj Ahmad di Bukit Mertajam yang sentiasa berfikir untuk melakukan kebaikan. Antaranya ialah kerap-kali beliau membeli beberapa kampit beras, lalu dibawa dengan keretanya untuk diberikan kepada orang susah sama ada orang Islam atau pun bukan Islam. Beliau juga mendekati kanak-kanak dengan memberikan coklat kepada mereka .... dan untuk mendekatkan kanak-kanak ke masjid beliau menjanjikan akan memberikan coklat yang lebih banyak kalau mereka ke masjid. Akhirnya beliau menjadi rapat dengan kanak-kanak dan semakin ramai kanak-kanak yang ke masjid. Pada hari kematian Hj Ahmad, tidak kurang 80 kanak-kanak dan budak-budak yang berada di samping jenazahnya.

Pada sesi soal-jawab, terdapat beberapa soalan dari para hadirin. Antara yang menarik ialah soalan daripada saudara David tentang cara untuk memeluk Islam. Lalu, kesempatan itu diambil oleh Tn Hj Kamarudiin Abdullah untuk mengislamkan saudara David dengan diajar kalimah syahadah dalam bahasa Arab dan Inggeris , lalu disambut oleh para hadirin dengan laungan takbir 'Allahu Akbar'.