Followers

Tuesday, May 31, 2011

Antara Babi & Bangkai


Oleh: Ustaz Shauqi

Hukum daging babi :

Dagingnya haram, lemaknya juga haram kerana diqiaskan kepada pengharaman dagingnya; disebabkan lemak adalah sebahagian daripada daging, dan itulah yang sahih. Ulama’ aliran mazhab Zahiri pula berpendapat bahawa yang haram itu ialah daging, tetapi tidak lemaknya kerana golongan ini hanya berpegang kepada zahir ayat sahaja iaitu firman Allah yang bermaksud : « dan daging babi ». Pandangan ulama’ aliran mazhab Zahiri ini ditolak dan disanggah kerana tujuan Allah menyebut daging (dan tidak menyebut lemak), ialah kerana haiwan itu disembelih untuk mendapatkan dagingnya, dan tidak lojik untuk memisahkan di antara daging dan lemaknya.

Ulama’ telah bersepakat bahawa sesuatu yang disembelih bukan kerana Allah iaitu disebut nama selain daripada Allah ketika penyembelihan adalah haram. Penyembelihan yang seumpama ini ialah sembelihan Majusi yang melakukannya untuk menyembah api, penyembah berhala yang menyembelih untuk tuhan berhalanya, dan orang yang tiada pegangan menyembelih kerana dirinya sendiri.

Adakah sembelihan orang Nasrani yang menyebut nama nabi Isa ketika menyembelih termasuk dalam kategori haram atau tidak ?. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa ia termasuk dalam kategori haram. Manakala ‘Ata’, Makhul, al-Hasan, al-Sya’bi, Sa’id Bin Musayyib dan sekumpulan daripada ulama’ aliran mazhab Maliki menyatakan bahawa ianya tidak haram. Sebab berlakunya khilaf atau perselisihan pendapat ialah percanggahan yang berlaku dalam dua ayat iaitu yang bermaksud : “Makanan (sembelihan) orang yang diberi al-Kitab halal bagimu”, (al-Ma’idah 5/5), dan ayat al-Baqarah 172 yang bermaksud ‘dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah’.

Jumhur ulama’ berpendapat ayat ini mentakhsiskan ayat dalam Surah al-Ma’idah, maknanya; makanan ahlul kitab halal selagi tidak disebut selain daripada nama Allah ketika sembelihan, oleh itu, hukumnya haram bagi sembelihan ahlul kitab yang menyebut nama al-Masih (nabi Isa) ketika penyembelihan. Manakala pendapat minoriti ialah sebaliknya iaitu harus sembelihan ahlul kitab secara mutlak.

Menurut pendapat Imam Malik, harus seseorang yang berada dalam keadaan darurat untuk makan sesuatu yang diharamkan seperti bangkai sehingga kenyang, kerana darurat mengharuskan yang haram, oleh itu bangkai hukumnya harus dimakan ketika berada dalam keadaan darurat.

Namun, Jumhur ulama’ berpendapat bahawa orang yang berada dalam keadaan darurat hanya dibolehkan makan sesuatu yang haram itu sekadar yang diperlukan sahaja; kerana pengharusan itu adalah disebabkan darurat, maka kadar pengambilannya pun mestilah sekadar darurat iaitu sekadar yang perlu sahaja. Antara keadaan-keadaan darurat ialah: meminum seteguk arak, dan pengambilannya sekadar untuk menghilangkan kehausan.

Menurut jumhur ulama’, orang yang berada dalam keadaan darurat ialah orang yang terlalu lapar dan amat berhajatkan kepada makanan, begitu juga orang yang dipaksa makan sesuatu yang haram seperti seorang lelaki yang ditawan musuh dan dipaksa makan daging babi dan sebagainya.

Jumhur ulama’ tidak mengharuskan berubat dengan sesuatu yang haram seperti arak dan bangkai, berdasarkan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibnu Mas’ud yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan umatku dengan sesuatu yang diharamkan kepada mereka”. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Tariq Bin Suwaid telah bertanyakan nabi saw mengenai arak untuk dibuat ubat, maka nabi saw pun melarangnya dan bersabda: “Sesungguhnya ia bukanlah ubat sebaliknya penyakit”. Ibnu al-Arabi telah berkata: Pandangan yang sahih dalam masalah ini ialah tidak boleh menggunakan bangkai untuk tujuan perubatan, kerana terdapat yang halal sebagai gantinya.

Terdapat dua pandangan ulama’ mengenai sesiapa yang terpaksa melakukan maksiat untuk menghilangkan darurat yang dihadapi seperti terpaksa menjadi penyamun dan pemberontak. Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad berkata: Diharamkan sekiranya perjalanan itu bertujuan maksiat; pengharaman itu disebabkan maksiat tersebut, kerana Allah mengharuskan yang tersebut (mengharuskan yang haram semasa darurat) adalah sebagai suatu pertolongan, tetapi orang yang derhaka (berbuat maksiat) tidak harus ditolong, sekiranya dia hendak makan, maka hendaklah dia bertaubat dan makanlah. Mereka yang derhaka (melakukan maksiat) ketika dalam perjalanan pula, diharuskan kepada mereka rukhsah syara’ (keringanan syara’) tersebut.

Abu Hanifah pula mengharuskannya kerana dia berada dalam keadaan di antara ketaatan dan kemaksiatan, dan al-Qurtubi telah mentarjihkan pendapat ini; kerana sesorang yang memusnahkan jiwanya ketika berada dalam perjalanan yang maksiat, dianggap melakukan maksiat yang paling teruk daripada perjalanan maksiat itu sendiri, dan ini berdasarkan firman Allah, maksudnya: “Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu” {al-Nisa’, 4:29). Ini secara umum, mudah-mudahan dia bertaubat selepas daripada itu, dan diampunkan dosanya yang lalu dengan sebab taubatnya itu.

Al-Baji menyebut dalam al-Muntaqa bahawa pendapat yang masyhur di sisi ulama’ aliran mazhab Maliki ialah orang yang berada dalam keadaan darurat, harus baginya untuk makan sesuatu yang haram walaupun dia berada dalam perjalanan yang maksiat, tetapi dia tidak diharuskan untuk berbuka puasa dan mengqasarkan solat, berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas”.

Sekiranya terdapat beberapa jenis makanan yang haram, makanan manakah yang perlu didahulukan ketika berada dalam keadaan darurat?

Ibnu al-‘Arabi berkata: sekiranya terdapat bangkai dan daging babi, hendaklah didahulukan bangkai; kerana bangkai itu halal sekiranya ia hidup, tetapi babi tetap haram walaupun ketika hidup. Pengharaman yang ringan didahulukan daripada pengharaman yang berat. Sekiranya terdapat arak dan bangkai, juga didahulukan bangkai. Sekiranya terdapat bangkai dan hak orang lain, didahulukan hak orang lain jika dia selamat berbuat demikian , dan tidak harus baginya makan bangkai. Sekiranya dirasakan tidak selamat, hendaklah dia memilih bangkai.

Pandangan yang sahih (berbeza dengan pandangan Imam Syafie): Tidak boleh makan daging manusia kecuali jika pasti ia boleh menyelamatkan nyawanya. Sekiranya orang berada di dalam ihram terpaksa memilih di antara binatang buruan dan bangkai, hendaklah dia memilih binatang buruan untuk dimakan; kerana pengharaman binatang buruan adalah berbentuk sementara (iaitu bagi orang yang berada dalam keadaan ihram sahaja), dan ia lebih ringan, dan boleh diganti dengan membayar fidyah (semasa berada dalam keadaan biasa ), tetapi bagi bangkai, tiada fidyah padanya

No comments:

Post a Comment