Followers

Thursday, May 26, 2011

Persoalan Halal & Haram Pada Haiwan

Oleh: Ustaz Shauqi


Haiwan Dua Alam
:

Iaitu binatang yang tinggal di daratan serta di dalam air seperti katak, kura-kura, ketam, ular, buaya, memerang dan sebagainya. Terdapat tiga pendapat dalam masalah ini:

Pendapat Pertama: Ulama’ aliran mazhab Hanafi dan Syafie: Tidak halal memakannya; kerana ia terdiri daripada binatang yang kotor, dan kerana nabi saw dalam hadis yang telah dikeluarkan oleh Ahmad dan Abu Daud telah melarang daripada membunuh katak. Sekiranya ia halal dimakan, nescaya nabi tidak akan melarang daripada membunuhnya.

Pendapat Kedua: Ulama’ aliran mazhab Maliki: Diharuskan makan katak dan seumpamanya yang telah disebut sebelum ini; kerana tidak ada nas atau dalil yang mengharamkannya.

Pendapat Ketiga: Ulama’ aliran mazhab Hanbali dan pendapatnya lebih terperinci, iaitu setiap binatang yang hidup di atas darat walaupun ia terdiri daripada haiwan laut, tidak halal dimakan sekiranya tidak disembelih seperti burung laut, penyu, dan memerang. Namun, dikecualikan haiwan yang tidak mempunyai darah seperti ketam kerana ia diharuskan makan serta tidak perlu disembelih berdasarkan riwayat yang datang daripada Imam Ahmad. Pengecualian tersebut adalah kerana ia merupakan haiwan laut yang tinggal di darat, di samping darahnya tidak mengalir. Ini berbeza dengan haiwan yang darahnya mengalir seperti burung yang tidak diharuskan makan tanpa disembelih terlebih dahulu. Walau bagaimanapun pendapat yang lebih sahih di sisi ulama’ aliran mazhab Hanbali ialah ketam tidak halal dimakan kecuali setelah disembelih.

Katak tidak halal dimakan. Ini berdasarkan hadis riwayat al-Nasae’i yang menyatakan bahawa nabi saw telah melarang membunuh katak; larangan ini jelas menunjukkan kepada pengharamannya. Begitu juga dengan buaya, ia tidak boleh dimakan.

Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa janin haiwan (anak yang berada dalam kandungan) yang dikeluarkan dalam keadaan sudah mati setelah disembelih ibunya, haram dimakan kerana ia dianggap bangkai, dan al-Quran sendiri telah mengharamkan bangkai. Pendapat beliau tidak dipersetujui oleh dua orang anak muridnya (Muhammad dan Abu Yusof), Imam Syafie dan Imam Ahmad kerana janin tersebut adalah halal di sisi mereka kerana janin tersebut dikira sudah disembelih dengan penyembelihannya ibunya itu. Imam Malik pula berpendapat, sekiranya janin tersebut telah sempurna kejadiannya serta sudah tumbuh bulunya, maka ia boleh dimakan. Akan tetapi jika sebaliknya, maka ia tidak boleh dimakan. Hujuh jumhur dalam hal ini ialah sabda nabi saw yang bermaksud: “Sembelihan janin binatang ialah berasaskan sembelihan ibunya” iaitu apabila ibunya disembelih, maka janin tersebut tidak perlu lagi disembelih kerana sudah memadai dengan penyembelihan ibunya itu.

Manakala pengikut Imam Abu Hanifah pula, mereka telah mentakwil hadis nabi itu dengan ‘hendaklah disembelih janin tersebut sebagaimana disembelih ibunya’. Takwil yang dikemukakan ini adalah takwil yang tidak tepat; kerana hadis nabi yang berkaitan dengan perkara ini ialah sebagai jawapan kepada permasalahan dan soalan yang dikemukakan mengenainya. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah saw telah ditanya mengenai janin yang keluar daripada perut ibunya dalam keadaan telah mati, maka nabi saw menjawab persoalan tersebut dengan sabda Baginda yang bermaksud: “Sekiranya kamu mahu, kamu boleh memakannya, kerana ia dianggap sudah disembelih apabila ibunya disembelih”.

Para ulama’ telah berselisih pendapat mengenai persoalan mengambil manfaat daripada minyak bangkai binatang yang bukan untuk dijadikan makanan, seperti untuk digunakan pada lapisan cat kapal dan pada kulit yang disamak:

Jumhur ulama’ menyatakan bahawa ianya haram berdalilkan ayat al-Quran; kerana mereka melihat bahawa al-fi’l al-muqaddar (kata kerja yang ditaqdirkan atau dianggap ada) ialah mengambil manfaat sama ada dengan memakannya atau dengan selainnya. Pengharaman ini juga berasaskan hadis nabi saw yang telah diriwayatkan oleh Jabir, sabda Baginda yang bermaksud: “Allah membunuh orang Yahudi, telah diharamkan kepada mereka lemak (binatang), tetapi mereka tetap menjual dan memakan hasilnya, lalu dilarang mereka berbuat demikian”. Ini bermakna pengharaman bangkai juga membawa kepada pengharaman jualannya.

‘Ata’ pula berkata: Harus disapu luaran kapal dengan minyak daripada lemak binatang, Ia telah berhujah bahawa ayat tersebut mengharamkan memakannya, seperti dalil yang telah disebutkan sebelum ini. Hujah yang kedua ialah berdasarkan hadis “syat Maimunah” (kambing Maimunah) yang bercanggah dengan hadis Jabir, iaitu suatu ketika nabi saw telah melalui kawasan ternakan kambing milik Maimunah, lalu baginda bersabda:, Maksudnya: “Alangkah eloknya kalau kamu mengambil kulitnya”, maka beliau mentarjihkan pendapat ini; kerana ia bertepatan dengan zahir ayat al-Quran.

Kulit Bangkai:

Ia tidak suci walaupun disamak mengikut pandangan yang zahir disisi ulama’ aliran mazhab Maliki, dan pandangan yang masyhur disisi ulama’ aliran mazhab Hanbali. Ini berdasarkan hadis Abdullah Bin ‘Ukaim yang telah diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmidhi, al-Nasa’ei, Abu Daud dan Ibnu Majah, dia berkata: “Rasulullah telah menulis kepada kami kira-kira sebulan sebelum kewafatan Baginda supaya tidak mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulitnya atau urat sarafnya” . Hadis ini memansukhkan (membatalkan) hadis-hadis yang sebelumnya; kerana hadis ini telah diucapkan pada saat-saat akhir hidup nabi saw.

Ulama’ aliran mazhab Hanafi dan ulama’ aliran mazhab Syafie berpendapat bahawa kulit binatang yang najis atau kulit bangkai akan menjadi suci apabila ia disamak. Ini berdasarkan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Sekiranya kulit disamak, ia menjadi bersih”. Manakala hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasaei, al-Tirmidhi dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas pula bermaksud: “Setiap kulit yang disamak akan menjadi bersih”.

Menurut jumhur ulama’, anggota-anggota bangkai yang keras yang tidak mengandungi darah adalah suci dan tidak najis seperti tanduk, tulang, gigi, gading, tapak kaki unta, tapak kaki kuda, kuku, dan bulu. Ulama’ aliran mazhab Syafei pula menyatakan bahawa anggota-anggota daripada bangkai adalah najis seperti susu dan telur yang bersambung dengannya. Dalil dan hujah jumhur dalam persoalan ini ialah hadis Salman ra yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Rasulullah saw telah ditanya mengenai lemak, minyak dan himar, lalu nabi bersabda: “sesuatu yang halal ialah apa-apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan yang haram itu ialah apa-apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan sesuatu yang tidak disebut hukumnya merupakan sesuatu yang dimaafkan oleh Allah dengannya”.

Hukum sesuatu atau bekas yang dimasuki tikus: Sekiranya tikus itu dapat dikeluarkan dalam keadaan masih hidup, ia dikira bersih. Akan tetapi, sekiranya tikus itu mati di dalam bekas tersebut, maka ia dilihat dalam beberapa keadaan; sekiranya cecair, maka semuanya dianggap najis manakala sekiranya ia bukan cecair, ia dianggap najis pada tempat jatuh tikus itu dan di sekelilingnya sahaja, dan yang baki boleh diambil manfaat daripadanya kerana ia dikira suci. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan bahawa nabi saw pernah ditanya mengenai tikus yang terjatuh ke dalam minyak sapi dan mati di dalamnya, maka bagi menjawab persoalan ini, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sekiranya objek beku (bukan cecair), buangkan tempat tersebut dan di sekitarnya, tetapi sekiranya cecair tuanglah ia”.

Sekiranya burung atau mana-mana haiwan jatuh dalam periuk, Ibnu Wahab telah meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia berkata: Tidak boleh dimakan apa sahaja yang terdapat dalam periuk tersebut, kerana ia adalah najis disebabkan telah bercampur dengan bangkai. Ibnu Qasim juga meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia telah menyatakan bahawa hendaklah dibasuh daging, manakala kuahnya hendaklah dibuang. Ibnu ‘Abbas pula berkata: Daging itu hendaklah dibasuh dan boleh dimakan.

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa darah itu adalah najis dan haram dimakan serta tidak boleh diambil sebarang manfaat daripadanya sekiranya darah itu terdiri daripada darah yang mengalir. Inilah gambaran yang disebut dalam surah al-An’aam. Saidatina Aisyah telah berkata, sekiranya Allah tidak menyebut: “atau darah yang mengalir” (al-An’aam 6/145), nescaya orang akan menganggap kesemuanya najis termasuk apa yang ada dalam pembuluh darah sekalipun. Di atas dasar inilah, sesuatu yang bercampur dengan daging dalam pembuluh darah tidak haram secara ijma’, begitu juga hati dan limpa tidak diharamkan secara ijma’. Ini berdasarkan takhsis (mengkhususkan) darah yang haram – mengikut pandangan ulama’ aliran mazhab Hanafi dan Syafei, ia berdasarkan hadis nabi saw yang bermaksud : “Telah dihalalkan kepada kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah”. Dua jenis darah itu ialah hati dan limpa

No comments:

Post a Comment